Wednesday, 11 December 2013

Malam berinai: Che Ta pakai barang kemas RM11 juta



  • Malam beninai: Che Ta pakai barang kemas RM11 juta
 1 / 1 
PELAKON jelita, Rozita Che Wan yang bakal menikah hari ini, telah menggayakan barangan kemas tajaan Habib Jewels bernilai RM11 juta pada malam berinai yang berlangsung Dewan N'Dah Shah ALam, malam tadi.

Rozita, 40, menggayakan barang kemas itu dengan busana berwarna ungu, rekaan pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini yang turut ditemani bakal suaminya, aktor kacak, Zain Saidin, 29.

Malam berinai itu telah diadakan dua sesi di mana, sesi pertama Rozita atau Che Ta telah menggayakan barang kemas delima terdiri daripada tiara berlian, dua bentuk cincin, sepasang anting-anting labuh, rantai leher dan dua pasang rantai tangan bernilai RM6.5 juta.

Che Ta dan Saidin yang kelihatan  duduk di atas pelamin yang dihiasai gabungan mawar putih dan ungu itu memakai inai tajaan My Beautiful Henna.

Pada sesi kedua, sebaik selesai majlis berinai, pasangan hangat itu telah menukar pakaian dengan mengenakan busana berona putih tajaan Bianco Mimosa bersama barang kemas bernilai RM5 juta.

Barang kemas itu berupa set berlian merangkumi sebentuk tiara, cokar mutiara kuning dan berlian, dua bentuk cincin berlian kuning, sepasang anting-anting labuh serta dua pasang rantai tangan berlian lebar.

Seramai 200 orang tetamu hadir yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat, media dan rakan-rakan artis antaranya Datuk Aznil Nawawi, Ayu Raudhah, Sharifah Shahora dan Mazlan Pet Pet.

Najib lancar Proton Perdana wajah baharu

11 Disember 2013More Sharing Servic
  • Najib lancar Proton Perdana wajah baharuPerdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima kereta Proton Perdana baru untuk kerajaan di lobi Bangunan Perdana Putra di Putrajaya hari ini. Turut hadir Pengerusi Eksekutif PROTON, Tan Sri Mohd Khamil Jamil. Kereta didatangkan dalam dua warna iaitu hitam metalik dan "purple grey" dengan engin 2.0L dan 2.4L. Bagaimanapun untuk masa ini, kereta tersebut tidak dijual kepada orang awam. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Proton Perdana berwajah baharu sebagai kenderaan rasmi kerajaan.

Proton Perdana berwajah baharu itu menampilkan dua varian iaitu Perdana 2.0 L dan 2.4 L dengan mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan dan keselesaan.

Dua unit edisi khas Proton Perdana berwajah baharu turut dikeluarkan untuk Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada majlis itu, Najib juga menerima kenderaan rasmi beliau dengan plat nombor W11N.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Proton Tan Sri Mohd Khamil Jamil dan menteri-menteri kabinet.

Sebanyak 200 unit pertama Proton Perdana baharu akan diserahkan kepada kerajaan setiap bulan. - Bernama

Sunday, 8 December 2013

Najib, Sultan Brunei rasmi Jambatan Persahatan

8 Disember 2013
Najib, Sultan Brunei rasmi Jambatan Persahatan
Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak (kanan) bersalaman dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah selepas merasmikan Jambatan Persahabatan yang menghubungkan Bahagian Limbang, Sarawak dan Daerah Temburong, Brunei Darussalam dekat Limbang,Brunei, hari ini. - Foto Bernama
LIMBANG - BRUNEI. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah hari ini merasmikan Jambatan Persahabatan di sempadan Malaysia-Brunei di sini.
  
Upacara bersejarah dan membuktikan ikatan erat hubungan dua negara yang sudah lama terjalin diadakan di atas jambatan persahabatan itu di antara Bahagian Limbang Sarawak dan daerah Temburong Brunei.
  
Ia dimulakan dengan pemimpin kedua-dua negara menandatangani plak diikuti memotong reben sebagai simbolik perasmian.
  
Majlis ini merupakan sebahagian aturcara Najib di Brunei hari ini sempena Rundingan Tahunan Pemimpin ke-17 bersama Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.
  
Hadir sama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
 
Fadillah berkata jambatan itu disiapkan mengikut perancangan yang bermula dari peringkat perbincangan sehinggalah menjadi realiti.
  
"Dengan pembukaan Jambatan Persahabatan ini akan memudahkan perjalanan di antara Bahagian Limbang Sarawak dan daerah Temburong Brunei, seterusnya merapatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Brunei," katanya dalam perutusan sekalung budi buku Majlis Perasmian Jambatan Persahabatan Di Antara Negara Brunei dan Malaysia.
  
Beliau berharap kerjasama dua hala antara kedua-dua negara akan dapat diteruskan pada masa akan datang demi merapatkan ukhuwah dan hubungan persaudaraan yang telah terjalin sekian lama.
  
Jambatan persahabatan ini berukuran 189 meter panjang dan 14 meter lebar dengan kos pembinaan berjumlah RM20.8 juta dibina merentasi Sungai Pandaruan.  

Projek pembinaan ini dikendalikan melalui perundingan Joint Project Team (JPT) dan Bridge Management Committee (BMC), melibatkan lapan kali mesyuarat JPT serta tiga kali mesyuarat BMC yang diadakan di Kuala Lumpur dan Brunei.
  
Upacara perasmian tapak diadakan pada 13 Sept 2011, diikuti kerja pembinaan dimulakan pada Mei 2012 dan siap pada November 2013. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN

Perkahwinan RM13 juta Che Ta, Zain


ZAIN dan Che Ta.


SUDAH seminggu tapi masih ramai yang asyik bercakap pasal kos perkahwinan pelakon Rozita Che Wan dan Zain yang mencecah RM13 juta. Puas jugalah Diva nak menerangkan bahawa hampir kesemua nilai RM13 juta itu semuanya pinjaman sementara sahaja. Mana ada orang gila nak leburkan duit RM13 juta untuk majlis nikah!
Kawan-kawan Diva semuanya terbeliak biji mata, ada yang ternganga sampai meleleh air liur basi. Kata mereka, sebab itu jadi artis hidupnya seronok! Kalau kena gosip atau kena kritik pun, dapat masuk surat khabar, majalah atau televisyen. Popular! Bila sudah popular, nak kahwin senang, semua orang pakat nak taja.
Diva kata, orang nak taja sebab nak tumpang popular, itu sahaja. Nak tumpang dapat nama, nak tumpang segala-galanya, sebab kalau tumpang buat kenduri artis popular, nama penaja akan masuk surat khabar atau terpampang masuk surat khabar dan televisyen. Itu publisiti percuma. Dalam kata lain, penaja tak perlu keluar duit beli iklan. Macam syarikat barang kemas yang taja RM10 juta barang kemas, tapi sebenarnya mereka bagi Che Ta pinjam pakai sekejap sahaja. Sebutlah berapa harga pun, siapa yang nak pergi belek betul ke tidak harganya juta-juta. Jadi tulis dan percaya sahajalah. Yang megah dan hebatnya bukan artis tetapi penaja. Bagi Diva, tiada apa yang hendak dibanggakan, sebab itu semua permainan bisnes dan dunia hiburan.
Macam kenduri kahwin Che Ta juga, yang dijemput pun siapalah sangat. Golongan tertentu sahaja pun, sebabnya makanan untuk tetamu pun ditaja, jadi tak boleh jemput ramai-ramai, tak cukup kerusi meja kaedahnya.
Diva tak nak cakap banyak sebab ramai sudah ustazah cakap kalau nak kahwin jangan bermegah sangat. Kalau pun tak berniat nak buat besar-besaran tetapi jadi besar macam majlis Che dan Zain ini, tetap timbulkan benda yang baik. Nak elak daripada orang mengata memang susah, tapi kalau boleh, elak-elak sahaja.
Diva harap jangan pula ramai anak muda nak jadi artis sebab mengenangkan kalau kahwin senang dapat tajaan. Satu hal lagi, syarikat korporat nampaknya lebih rela tunggu artis nak kahwin untuk beri tajaan berbanding hulur tajaan untuk kepada agenda-agenda seni yang lebih bermanfaat untuk kegemilangan industri.
Diva: Alangkah nikmatnya hidupnya kalau ditaja masuk syurga.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1201&pub=Kosmo&sec=Diva_Interaktif&pg=dv_01.htm#ixzz2ms8Ceyos 
Hakcipta terpelihara 

Tiga mesej sebagai 'bekalan'


Najib Tun Razak bersalaman dengan para perwakilan sejurus berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 7 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak menutup tirai Perhimpunan Agung UMNO 2013 dengan menyampaikan tiga mesej sebagai 'bekalan' kepada ahli-ahli parti itu bagi meneruskan perjuangan.
Menyifatkannya sebagai kejayaan perhimpunan tersebut, Presiden UMNO itu berkata, ia sebagai ingatan dan panduan bagi membolehkan UMNO menjadi parti masa depan.
Beliau berkata, mesej pertama ialah perhimpunan itu dengan jelas menyatakan kesungguhan kerajaan meninggikan syiar dan syariat Islam di tanah air serta mempertahankan kemuliaan dan kesucian agama Islam.
"Ini mesej yang bergema daripada Perhimpunan Agung UMNO ke-67 ini. Dalam hal ini kalau ada pihak yang tidak menerima hakikatnya, saya bersetuju apabila ada seorang perwakilan kata kalau dah buta hati, kita buat baik pun tidak terima kebaikan kita tetapi percayalah kita tidak merasa lemah semangat kerana UMNO berada atas landasan betul dan benar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan di perhimpunan selama empat hari itu yang berakhir hari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Najib yang juga Perdana Menteri berkata, bagi mempertahankan akidah umat Islam beliau telah berbincang dengan Timbalan Presiden UMNO Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk meminda Fasal 3 Perlembagaan UMNO.
"Kita akan pinda fasal 3 dalam Perlembagaan UMNO yang mana bukan lagi sebut Islam agama persekutuan, tetapi kita akan kata Islam agama persekutuan berasaskan pegangan ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.
Untuk mesej kedua, kata Najib, UMNO akan bersungguh-sungguh dalam perjuangan memperkasa agenda ekonomi bumiputera.
"Sebab itu saya kata demi keadilan sosial dan kestabilan jangka panjang, kedudukan orang Melayu dan bumiputera mesti ditingkatkan."Jangan apologetik, ini hak kita, ia mesti dilaksanakan tapi kita tidak menafikan hak kaum lain," katanya.
Sehubungan itu juga Perdana Menteri melontarkan persoalan, apakah perkembangan kaum lain terbantut atau terpinggir apabila kerajaan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
'' Adakah rezeki mereka terputus? Terbukti bahawa kerajaan di bawah pimpinan UMNO adil kepada semua kaum," kata beliau.
Najib juga secara tegas mengingatkan semua pihak supaya tidak menuduh UMNO bersikap perkauman apabila memperjuangkan nasib orang Melayu dan bumiputera.
"Kami tidak rasis dan sama sekali tidak akan rasis. UMNO sentiasa adil kepada semua. Kita hendak mereka maju bersama kita, sama ada orang Cina, India, Iban, Kadazan, tetapi kepimpinan negara ini terajunya mesti dipegang oleh UMNO," katanya.
Najib juga menarik perhatian perwakilan apabila menegaskan:
''…di bawah UMNO orang lain boleh mendapat keadilan, di bawah orang lain, tidak pasti orang Melayu mendapat keadilan."
Mesej ketiga pula, kata beliau, berkaitan transformasi dalam UMNO yang memerlukan ahli-ahli parti itu melakukan perubahan sikap.
"Kalau kita hendak lakukan perubahan, orang putih kata 'business as usual' tidak boleh, sebab landskap politik negara sudah berubah, landskap politik dunia sudah berubah," katanya.
Sambil mengimbas nasib Parti Kongres di India, LDP di Jepun dan Golkar di Indonesia yang kehilangan kuasa pemerintahan negara, Najib mengingatkan, tiada parti politik yang kebal.
"Masakan UMNO boleh kebal. Kita tak kebal. Hanya parti yang sanggup berubah ikut tuntutan zaman menjadi parti elevan dan parti itu akan terus memegang tampuk kepimpinan negara," katanya.
Najib berkata, UMNO mesti menampakkan sebagai parti masa depan dan bukannya parti yang terus bergantung kepada kecemerlangan perjuangan zaman silamnya.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/UMNO_2013/20131208/um_01/Tiga-mesej-sebagai-bekalan#ixzz2ms5U9gho
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday, 7 December 2013

Amalan baik balasan baik

DALAM kehidupan seharian kita, umat Islam sangat digalakkan menjaga pakaian, pergaulan dan percakapan supaya menjadi umat yang beriman dan bertakwa. Apabila semua ini dijaga maka ia akan mendatangkan kebaikan dan kebajikan serta ibadah kepada diri yang tentunya mendapat balasan pahala daripada-Nya.
Sesungguhnya dengan ilmu, amal dan akhlak yang baik akan menjuruskan kepada kehidupan yang baik dan sejahtera. Begitulah juga, cara menjaga diri dan maruah sangat penting dalam kehidupan seharian setiap Muslim.
Dalam pergaulan dan hubungan kemasyarakatan, berpakaian yang sesuai, apa lagi yang menepati syariat mestilah dipraktikkan dalam kehidupan. Semua ini akan mengangkat martabat dan akhlak umat Islam, yang akhirnya Islam akan dipandang tinggi dan mulia oleh penganut agama lain.
Antara aspek yang membabitkan cara berpakaian Muslim ialah:
Memakai pakaian yang menutup aurat. Pakaian tersebut tidak ketat dan tidak jarang yang boleh menampakkan aurat.
Memakai pakaian yang kemas dan bersih sesuai dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya Allah baik serta suka akan kebaikan, suci dan suka akan kesucian.” (riwayat Tirmidzi)
Sebagai umat Islam khususnya remaja Islam, memilih pakaian juga penting dalam kehidupan seharian. Berpakaian hendaklah mengikut cara Islam.
Tidak memakai pakaian yang terdapat lambang-lambang yang diharamkan seperti lambang-lambang kumpulan Black Metal, lambang-lambang kumpulan ajaran sesat dan lambang-lambang agama lain.
Seterusnya dalam kehidupan, cara pergaulan juga penting dipraktikkan sebagai amalan yang baik dalam rutin kehidupan seharian. Antaranya;
* Memberi salam dan berjabat tangan ketika bertemu dengan saudara Islam. (Dalam batasan syarak)
* Menjaga tata susila dan hukum syarak dalam pergaulan.
* Hormat-menghormati, berkasih-sayang dan beramah-mesra antara satu sama lain.
* Bertukar-tukar pendapat.
* Menjaga rahsia dan keaiban orang lain.
* Mementingkan sahabat lebih daripada diri sendiri.
* Menepati janji yang baik.
* Memberi salam dan berjabat tangan meninggikan kemuliaan diri.
Justeru, Nabi SAW bersabda: “Kemuliaan manusia adalah agamanya, harga dirinya (kehormatannya) adalah akalnya, sedangkan ketinggian kedudukannya adalah akhlaknya.” (riwayat Ahmad dan Al Hakim).
Di samping itu, aspek yang peri penting dipraktikkan di dalam kehidupan ialah cara percakapan yang baik. Percakapan yang baik membuktikan seseorang itu berilmu dan beramal dengan baik. Oleh itu, sebelum mengeluarkan kata-kata, perlulah berfikir dahulu. Antaranya;
* Bercakap dengan perkataan yang baik dan sekiranya tidak tahu lebih baik berdiam diri.
* Berlemah-lembut dan menggunakan bahasa yang sopan apabila berinteraksi.
* Percakapan yang menyenangkan.
* Bercakap tentang perkara yang membawa kemajuan diri, masyarakat dan negara.
* Bercakap benar tentang perkara yang diketahui.
Oleh itu, Nabi SAW selalu berpesan: “ Di antara akhlak seorang mukmin adalah berbicara dengan baik. Apabila mendengarkan pembicaraan, dia tekun, apabila berjumpa orang, dia menyambut dengan wajah senang dan apabila berjanji, ia ditepati.” (riwayat Ad Dailami)
Maruah diri atau akhlak mestilah sentiasa dijaga supaya kita sentiasa dipandang tinggi dan mulia di sisi manusia dan di sisi Allah SWT. Mengkesampingan perihal ini akan menatijahkan;
Kehidupan tidak diberkati kerana jauh daripada cahaya petunjuk Allah.
* Mendapat dosa kerana melanggar syariah Allah.
* Menjadi terpinggir kerana dipulaukan oleh rakan-rakan dan masyarakat sekeliling.
* Mendorong kepada berlakunya kes-kes jenayah seperti rogol dan sumbang mahram.
* Melahirkan masyarakat yang kucar-kacir dan negara yang tidak tenteram serta menyukarkan pembinaan tamadun.
* Masyarakat akan memandang rendah dan menghina orang yang tidak bermoral seperti penagih dadah.
Nabi SAW berpesan: “Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan (pada hari kiamat) daripada akhlak yang baik.” (riwayat Abu Daud)
Kesimpulannya, setiap amalan yang baik akan mendapat balasan yang baik di sisi-Nya. Oleh itu, laksanakan dengan sebaik-baiknya. Sebagai ibu bapa, mereka wajar mendidik anak-anak dengan percakapan, pergaulan dan berpakaian yang baik. Manakala sebagai generasi muda Islam sewajarnya memahami syariat Islam, mengikut suruhan ibu bapa yang baik ke arah kebaikan diri pada masa depan.

* PENULIS ialah bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu, UKM.
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20131206/ba_05/Amalan-baik-balasan-baik#ixzz2mmJa5NZX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Nelson Mandela meninggal dunia


Gambar fail bertarikh 11 Februari 1990, menunjukkan Nelson Mandela (kiri) yang ditemani isterinya ketika itu, Winnie, menyambut sorakan para pengikutnya selepas dibebaskan daripada tahanan penjara selama 27 tahun di Cape Town, Afrika Selatan. - REUTERS
JOHANNESBURG 6 Dis. - Bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela, 95, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya semalam, selepas sekian lama menghidap jangkitan paru-paru.
Berita pemergian Mandela diumumkan Presiden, Jacob Zuma dalam ucapannya menerusi stesen televisyen negara itu yang meminta semua pihak mengibarkan bendera kebangsaan separuh tiang sempena pemergian tokoh demokrasi tersebut.
"Pengasas negara demokrasi Afrika Selatan, Nelson Rohlihla Mandela telah pergi meninggalkan kita dan beliau meninggal dunia dengan aman di kediamannya," kata Zuma.
Zuma turut memaklumkan Mandela akan disemadikan dalam satu upacara pengebumian penuh istiadat.
Jelas beliau, majlis pengebumian pemimpin tersebut akan diadakan pada 15 Disember ini di Qunu, wilayah Cape Timur, Afrika Selatan.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kongres Kebangsaan Afrika (ANC), Gwede Mantashe berkata, pihak berkuasa akan memastikan majlis pengebumian Mandela di Qunu akan kekal sebagai acara keluarga dan tidak akan diadakan secara besar-besaran.
"Kita bimbang kerana kawasan ini tidak mempunyai kemudahan infrasturuktur yang baik. Kita tidak mahu berlaku insiden bersesak-sesak," katanya.
Menurut Mantashe, Afrika akan berkabung selama 10 hari, dan pada hari kesembilan, dijangkakan ribuan orang dari seluruh Afrika Selatan dan negara jiran akan hadir ke rumah Mandela untuk memberi penghormatan terakhir.
Mandela merupakan pemimpin yang paling dihormati kerana keberaniannya mencabar dasar aparteid yang dilaksanakan oleh minoriti kulit putih ke atas golongan berkulit hitam.
Sementara itu, dua anak perempuan Mandela mengetahui berita kematian bapa mereka ketika hadir untuk tayangan perdana filem Mandela: Long Walk to Freedom di London semalam.
Zindzi dan Zenani dilaporkan baru sahaja bertemu dengan beberapa orang kenamaan termasuk Putera William dan isterinya, Catherine sebelum bergegas keluar daripada panggung wayang sejurus menerima satu panggilan telefon yang memaklumkan berita sedih itu. - REUTERS/BERNAMA/AFP

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131207/lu_01/Nelson-Mandela-meninggal-dunia#ixzz2mmIJxIIc
© Utusan Melayu (M) Bhd