
Zuriani Abd Kadir bersama anak ketiganya gembira dengan kerja dan hobinya sejak kecil membuat kek secara kreatif.
Apa yang menarik, beliau yang memiliki ijazah sarjana muda dan sarjana dalam bidang perakaunan dari University Of East London, United Kingdom, sanggup meninggalkan kerjaya profesional untuk berkecimpung dalam perniagaan bakeri secara dalam talian.
Beliau berhenti berkhidmat di Bahagian Sumber Manusia (HR) di Syarikat Bina Darul Aman, sebuah anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), pada 2009, untuk menjadi suri rumah sepenuh masa dan menumpu kepada perniagaan bakeri yang kian mendapat sambutan baik.
Minat yang mendalam terhadap pembuatan kek, menyebabkan beliau tidak terlalu memandang kepada keuntungan semata-semata kerana apa yang dilakukannya lebih mementingkan kepuasan dan penerimaan pelanggan.
Zuriani atau lebih mesra dengan panggilan Zue dalam kalangan teman-temannya berkata, beliau memang suka melukis dan membuat kek sejak di bangku sekolah lagi.
Memandangkan sejak kecil lagi beliau sering membantu ibunya menyediakan pelbagai jenis biskut raya untuk tempahan secara kecil-kecilan, jadi ia tidaklah menjadi suatu masalah besar kepadanya untuk berjinak-jinak dalam bidang ini.
Malah katanya, ketika melanjutkan pelajaran ke luar negara selama enam tahun, beliau dan teman-temannya akan bergotong-royong menyediakan kek dan biskut sebagai juadah untuk menyambut hari raya di sana memandangkan mereka tidak selalu berpeluang untuk pulang beraya bersama keluarga di tanah air.
Ketika mencerita pengalamannya sewaktu memulakan perniagaan bakeri di rumah, Zuriani berkata, beliau mendapat sokongan penuh daripada suaminya Mohd. Jafri Abd. Hamid, 47, serta anaknya.
Ibu kepada tiga orang anak itu berkata, beliau mula terlibat secara tidak langsung dalam perniagaan bakeri pada tahun 2008 dan membuat keputusan untuk berhenti kerja pada 2009, supaya dapat memberi lebih tumpuan berikutan permintaan yang baik bagi produk hasil tangannya yang diberi jenama Zue's Oven.
"Segalanya bermula selepas saya membawa marble cheese brownies yang saya buat untuk kawan-kawan di pejabat. Mereka sukakannya dan bertanya kek apa lagi yang saya pandai buat, dan sejak dari itu ramai kawan-kawan yang datang membuat tempahan untuk pelbagai jenis kek, biskut dan makaroni.
"Satu hari ketika keluar minum bersama seorang teman rapat, beliau bertanya apa yang saya sangat suka buat?, jawab saya, suka melukis dan bakeri. Lepas itu beliau nasihati saya untuk belajar menghias kek supaya boleh mengambil tempahan secara sambilan suatu hari nanti," katanya.
Selain bakatnya yang sedia ada serta minat yang mendalam dalam bidang bakeri, Zuriani juga sentiasa berusaha memantapkan lagi kemahirannya dengan mengikuti kelas-kelas menghias kek.
Walaupun yurannya agak mahal berbanding sesetengah mereka yang hanya belajar daripada orang lain ataupun belajar dalam laman sosial media seperti blog dan YouTube, tapi bagi Zuriani, ia sangat berbaloi kerana ilmu yang diperoleh itu dirasakan lebih berkat.
Isteri kepada seorang arkitek ini berkata selain mendapat tempahan kek, beliau juga diminta pelanggannya untuk mengubah hantaran, barang-barang perhiasan, bunga, barang-barang hotel dan banyak lagi.
Walaupun permintaan pelanggan itu kadangkala di luar bidangnya namun dia selalu mencuba sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik.
"Pada hari-hari biasa saya akan mendapat tempahan daripada pelanggan tidak kurang 10 biji kek sehari tetapi pada musim perayaan permintaan akan bertambah sehinggakan saya tidak menang tangan.
"Saya melakukan semuanya sendiri. Saya tidak ada pembantu kerana susah nak cari orang yang punya semangat seperti kita kerana bidang ini memerlukan kesabaran yang tinggi.
"Kadang-kadang anak yang akan membantu dari mula proses membuat kek, menghias, membungkus dan menghantar.
"Ada juga pelanggan yang datang ambil sendiri tempahan mereka dan ada yang saya hantar sendiri ke rumah mereka tetapi itu bergantung kepada tempat dan masa saya," katanya.
Kek hasil tangan anak ketiga daripada lapan beradik itu bukan sahaja mendapat sambutan dalam kalangan orang tempatan malahan pernah mendapat tempahan dari luar negara seperti Belanda dan India.
Selain itu jirannya yang berbangsa Jerman juga sangat menyukai keknya sehinggakan meminta beliau mengubah kek marble cheese brownies untuk dijadikan hadiah.
Selain kreatif menghias di atas permukaan kek dengan pelbagai figura bunga atau apa sahaja yang diminta pelanggan, Zuriani juga berbakat dalam membuat kek 3D yang mula berkembang abad ini, kek dalam jar, biskut, brownies, pasta, pemanis mulut, door gift dan mini kek.
Malah dia pernah diberi kepercayaan untuk menyediakan kek untuk sambutan hari lahir bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abd Razak.
Produk-produk hasil tangan Zuriani juga berjaya mendapat tempat di hotel-hotel sekitar Alor Setar.
Beliau, yang berasal dari Nilam Puri, Kelantan, berkata, selain mengiklankan produk Zue's Oven dalam blog dan Facebook, beliau turut menyediakan flyers kepada pelanggan yang datang mengambil tempahan mereka supaya pelanggannya dapat memberikannya kepada orang lain.
Beliau juga menyediakan katalog yang dimuatkan dengan gambar-gambar bakeri hasil buatannya untuk memudahkan pelanggan membuat pilihan.
Katanya, perniagaan semakin berkembang kerana bantuan pelanggannya yang selalu mencadangkan Zue's Oven kepada kawan yang lain.
"Sebenarnya saya juga ada membuka kelas asas hiasan kek cawan itu pun atas permintaan pelanggan yang mahu belajar membuatnya.
"Setakat ini dah banyak kali kelas dibuat tapi ia bergantung kepada masa saya, sekarang pun ada juga yang minta untuk buat kelas itu tapi saya belum ada tarikh yang sesuai untuk memulakan kelas, sesiapa yang berminat boleh melihat perincian kelas di blog saya www.cekmekzue.zue.blogspot.com," katanya. - Bernama
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130620/ke_05/Kebanggaan-Zuriani#ixzz2Wm0EIBv5
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment