Meredah laluan berbukit menggunakan kenderaan pacuan empat roda serta mendaki
jalan denai ke hutan belantara antara pengalaman dilalui penulis bagi melihat
proses pengambilan madu tualang.
Di lokasi pemungutan madu, kami diberi taklimat ringkas proses pengambilan
madu tualang daripada pembekal madu, Ibrahim Ismail.
Sebaik taklimat ringkas selesai, kami dinasihatkan memasuki tiga kelambu
putih di sekitar kawasan terbabit bagi mengelak perkara gigitan lebah
hutan.
Berbanding cara pengambilan madu di waktu malam, peluang
menyaksikan dua pemungut madu, Mohd Zamri Mohd Hassan, 21, dan Ahmad Ghazali,
20, di Seri Bandi, Kemaman, memang dinantikan penulis.
POKOK yang menjadi sarang lebah hutan yang juga madu
tualang.
KAEDAH menarik pencari madu menggunakan tali.
DAUN palas kering digunakan untuk tujuan mengasap sarang.
PEGAWAI FAMA melihat proses penghasilan madu di Rumah Madu Tualang di
Kuala Nerang, Kedah.
ORANG ramai tertarik melihat madu tualang.
Keberanian mereka memanjat pokok pada ketinggian 30 hingga 45 meter
sangat mengagumkan.
Menggunakan pakaian kalis sengatan, Mohd Zamri dan Ahmad bersiap sedia
menghadapi disengat lebah semata-mata mendapatkan habuan madu
tualang.
Mereka memanjat pokok berdekatan kawasan madu sebelum
melemparkan batu bertali menggunakan lastik. Fokus harus diberikan terhadap
dahan yang sesuai untuk memudahkan kerja.
Madu lebah mengandungi pelbagai
kandungan mineral dan vitamin seperti B6, tiamina, miacin, ribotlorina dan asid
pontohenic.
Bahan makanan berkhasiat terbabit juga mengandungi zat-zat
seperti kalsium, zat besi, kuprum, magnesium, manganese, fosforus, potasium,
sodium dan zink.
Ia juga mengandungi vitamin B1, B2, C, B6 dan B3.
Komposisinya berubah-ubah sesuai dengan kualiti madu bunga dan serbuk sari
diperoleh lebah.
Selain itu madu juga berperanan sebagai antioksida dalam
badan manusia yang boleh menghapuskan bahan-bahan radikal yang menjadi penyebab
kepada penyakit kronik.
Penyelidikan Universiti Sains Malaysia (USM)
mendapati madu lebah tualang boleh meningkatkan tahap imunisasi badan terhadap
serangan penyakit.
USM dengan kerjasama FAMA membuat 20 kajian terhadap
madu tualang dan mendapati ia memberikan kesan positif kepada tubuh
manusia.
Penemuan baru khasiat madu lebah juga mendapati ia boleh
mempercepatkan penyembuhan luka dan mengurangkan kesakitan.
Antara
khasiatnya termasuk melewatkan menopaus di kalangan wanita berusia, merawat
penyakit diabetis, menguatkan tulang dan meningkatkan hormon di dalam badan
wanita.
Berpengalaman kira-kira 10 tahun dalam mengendalikan aktiviti
pemungutan madu asli, Ibrahim mengakui pemburu madu tualang berdepan risiko
tidak diingini.
“Pencari madu lebah tualang melakukan aktiviti berkenaan
secara sambilan. Jika musim mencari madu, kami akan ke hutan untuk mendapatkan
madu pada pokok tualang.
“Kerja memungut madu tualang seperti mencandat
sotong di laut,” katanya.
Menurutnya, madu lebah tualang sangat ganas dan
tidak seperti lebah biasa di ternak di ladang.
“Sifat semula jadinya itu
menyebabkan lebah ini dikenali sebagai ‘Giant Bees’. Tubuhnya agak besar
berbanding lebah biasa,” katanya.
Menurutnya, lebah hutan yang membuat
sarang di pokok tualang sangat gemar membuat sarang berdekatan sumber
air.
“Pencari madu mudah menjejaki madu lebah berdasarkan tanda-tanda
kehadiran lebah hutan terbabit di kawasan berair atau tepi sungai.
“Jika
terdapat lebah di kawasan itu, maka adalah sarang di kawasan sekitar. Air antara
campuran semula jadi dalam madu,” katanya.
Biasanya pemungut madu akan
melihat pergerakan lebah hutan mengangkut air ke sarang madunya dan ia dibina
tidak jauh dari sumber air.
Ibrahim yang juga pesara kerajaan berkata,
untuk mengenal pasti sarang lebah hutan yang mempunyai madu cukup
mudah.
“Kita tengok hujungnya, jka gemuk sedikit dari saiz biasa terutama
pada hujung dahan, maka di situ banyak madu.
“Jika bernasib baik, setiap
sarang mampu menghasilkan antara 10 hingga 15 kilogram madu,”
katanya.
Katanya, mengambil madu pada siang hari demi keselamatan
pemungut.
“Jika malam, pelbagai kemungkinan boleh berlaku apatah lagi
pokok tualang amat tinggi,” katanya.
Pernah mengikuti penggambaran BBC
Discovery Channel pada Mei tahun lalu, Ibrahim berkata proses mendapatkan madu
tualang perlu menggunakan api dari daun pokok palas atau sabut kelapa yang
dibakar bagi mendapatkan asapnya.
“Kaedah ini sudah menjadi amalan biasa
untuk membolehkan lebah lari ke kawasan lain, sebelum rumah madu di potong untuk
dimasukkan ke dalam baldi.
“Sesudah itu, madu yang diturunkan akan
ditapis untuk mendapatkan madu asli,” katanya berasal dari Kedai Buloh, Kuala
Terengganu.
Pemilik syarikat Desert Gold Trading itu berkata, waktu
menuai madu bermula pada Ogos.
“Lebah bergantung kepada bunga. Ini
bermakna bunga pokok amat penting dalam penghasilan madu,” katanya.
Dalam
pasaran ketika ini madu tualang boleh dijual RM90 sekilogram.
“Produk
madunya kini dipasarkan FAMA di bawah jenama Agromas dan saya sendiri
menghasilkan kira-kira 500 kilogram sebulan,” katanya.
Dia turut memberi
tip untuk menentukan sama ada madu itu tulen atau campuran.
“Madu asli
mempunyai rasa masam dan manis, berbanding madu tiruan hanya mempunyai rasa
manis.
“Malah, jika terkena sengatan lebah hutan, sapukan madu itu di
tempat yang disengat.
“Ada meletak cuka di kawasan sengatan dan jika
masih belum pulih, dapatkan rawatan di hospital,” katanya.