Saturday, 11 January 2014

Encik Mimpi tidak bermimipi


WALAU menerima kata-kata tohmahan, Encik Mimpi kekal dengan keputusan untuk memeriahkan industri. Secara tiba-tiba namanya menjadi sebutan, terlajak daripada penggunaan lagu ciptaan dan nyanyiannya untuk sebuah drama bersiri. Hanya mahu dikenali sebagai Encik Mimpi, memilih untuk menjadi penyanyi tidak bermakna dia terpaksa mengorbankan prinsip hidupnya. Percaya ada sesuatu yang mahu dikekalkan, Encik Mimpi (EM) kini tampil dengan konsep bertopeng.
Sekali pandang mungkin ramai yang meragui motif sebenar jejaka ini, namun menurut EM tujuan sebenar dia meneruskan penampilan itu adalah kerana mahu menghargai peminatnya yang mahukan dirinya dengan personaliti tersebut.
Bermula sebagai penulis blog sebelum memilih untuk bergelar penyanyi, menurut EM antara keistimewaan blog kendaliannya itu adalah bagaimana dia berkongsi diari kehidupan sehariannya dengan pembaca sambil menyanyikan lagu ciptaan sendiri.
Mengakui minat dalam dunia nyanyian, menurut EM pada awalnya dia lebih selesa untuk berkongsi karyanya itu di dalam blognya sahaja. Bagaimanapun melihat peluang yang ada, dia terus berusaha meletakkan namanya di dalam industri kini.
“Saya sudah mula menulis blog sejak 2009. Pada waktu itu saya hanya mahu berkongsi pengalaman saya.
“Bagi mencari kelainan, saya gunakan kelebihan yang saya ada untuk menarik perhatian pembaca, dengan meletakkan lagu nyanyian saya untuk setiap entri," katanya ketika ditemui pada sesi fotografi di Cyberjaya baru-baru ini.
Tidak menyangka bahawa suatu hari nanti suaranya akan menghiasi corong-corong radio, menurut EM tujuan dia terus merahsiakan identiti diri bukan bermakna dia takut untuk menerima tekanan populariti yang mungkin akan menghimpit dirinya.
“Saya tidak ada masalah kalau dikenali, kerana seperti orang lain, saya juga bebas untuk berada di luar tanpa topeng.
“Cumanya, penampilan saya dengan topeng ini lebih kepada mahu meneruskan permintaan peminat saya," katanya.
Akan meneruskan penulisannya di blog, menurut EM memandangkan dia dikenali melalui cara itu, bermakna dia akan kekal menjadi penulis blog buat masa ini.
“Walaupun saya sudah menjadi penyanyi, itu tidak bermakna saya akan meninggalkan blog yang membuka laluan saya untuk dikenali sebagai penyanyi.
“Cuma, saya akui dengan tanggungjawab yang semakin bertambah kini, waktu untuk menulis agak terhad," katanya.
Selain menulis blog, EM juga sebenarnya turut mempunyai hobi yang agak unik iaitu melukis. Bagi mereka yang pernah melihat video muzik lagunya yang berjudul Rindukanlah, tentu perasan video tersebut turut menggunakan elemen lukisan kartun.
“Selain menulis, saya juga suka melukis, walaupun tidak terlalu serius ,saya lihat hobi saya ini menjadi antara aktiviti wajib saya.
“Mungkin ada yang tidak faham dengan minat ini, tetapi bagi saya tiada apa yang merugikan memandangkan ia hanya sekadar suka-suka," katanya.
Selesa berahsia
Bercakap mengenai blog miliknya, EM berkata, di awal pembabitan sebagai penulis blog, kebanyakan perkongsian cerita adalah pengalaman hidupnya sebagai seorang pelajar di sebuah universiti luar negara. Tidak menolak pada mulanya ia lebih kepada perkongsian peribadi, dia langsung tidak menyangka kebanyakan pembaca mula memberi sokongan untuk dia meneruskan blog yang dinamakan Encik Mimpi .
“Bila belajar di luar negara, pada mulanya memang kita rasa asing, jadi saya pilih untuk berkongsi perasaan di dalam blog.
“Lama kelamaan blog kelolaan saya meningkat dari segi pengikut, tetapi demi untuk mengelakkan mereka mengetahui siapa penulis, saya tidak pernah memuat naik gambar sebenar saya," katanya.
Bukan sahaja wajahnya disorok, EM juga mengambil keputusan untuk tidak terlalu terbuka memberitahu identiti sebenarnya. Kekal selesa untuk digelar ‘Encik Mimpi’, menurut EM walaupun ada yang janggal dengan panggilan itu, namun dia percaya peminatnya tidak mempunyai masalah dengan keputusan ini
“Saya rasa peminat lebih mementingkan muzik saya, jadi saya tidak fikir mereka terlalu kisah siapa saya sebenarnya.
“Jujurnya, saya juga selesa begini, mungkin sebab saya tahu ada kehidupan lain yang boleh saya jalani sebagai seorang biasa," katanya.
Masih bergelar seorang pekerja di sebuah syarikat teknologi maklumat, buat masa ini menurutnya dia tidak mempunyai masalah untuk membahagikan masa memandangkan waktu kerjanya fleksibel.
“Kadang-kadang kelakar juga mendengar beberapa rakan sekerja menyanyikan lagu saya tanpa mengetahui sayalah ‘Encik Mimpi’ yang sebenar.
“Saya anggap ini antara cabaran yang akan saya lalui, sama ada saya akan membuka topeng wajah ini suatu hari nanti, saya juga tidak tahu," katanya.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Hiburan/20140111/hi_04/Encik-Mimpi-tidak-bermimipi#ixzz2qA7WGLOg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Syed Haidhar cerita detik cemas sebelum diselamatkan


KUALA LUMPUR 11 Jan. - "Kami hanya mampu terbaring di bawah pokok dalam keadaan gelap gelita. Mahu hidupkan unggun api pun kami tidak larat kerana terlalu penat setelah melalui detik yang hampir meragut nyawa kami."
Itu kata salah seorang mangsa nahas pesawat ringan Cessna 172 yang terhempas di hutan berhampiran kawasan Empangan Batu, Ulu Yam, Kapten Syed Haidhar Syed Zulkifli, 24, ketika ditemui pemberita di Hospital Selayang di sini hari ini.
Menurut Syed Haidhar, sebelum kejadian mereka bertiga berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi di sini, kira-kira pukul 4.30 petang dan 45 minit kemudian pesawat mereka terhempas ketika cuba mengelak seekor burung helang jenis Winston.
"Kami kena mengelak daripada melanggar burung helang itu kerana bimbang kejadian lebih teruk berlaku memandangkan tulang burung helang itu mampu mematahkan kipas pesawat.
"Selepas terhempas, kami cuba keluar daripada pesawat sekitar pukul 6 petang kerana bimbang berlakunya kejadian yang tidak diingini sebelum cuba mencari jalan keluar dari hutan.
"Tetapi suasana gelap dan kami terpaksa mengambil keputusan untuk menangguhkan tindakan itu kerana apa yang kami ada hanyalah bekalan cahaya daripada telefon bimbit," katanya.
Dalam kejadian itu, Syed Haidhar bersama dua lagi juruterbang iaitu Kapten Saiful Farid Amri Amrizal, 41, dan Shaiful Zafiq Razali, 23, dari Kelab Penerbangan Diraja Selangor sedang menjalani latihan penerbangan sebelum terhempas berdekatan Empangan Batu, dekat Ulu Yam.
Mereka dikatakan terperangkap di dalam kawasan hutan itu hampir 10 jam sebelum ditemui pasukan penyelamat dan penduduk kampung.
Cerita Syed Haidhar, mereka tidak mampu berjalan jauh selepas pesawat itu terhempas kerana masing-masing kesakitan dan mengalami kecederaan akibat nahas.
"Kami sekadar berteduh di bawah pokok yang berbentuk kanopi kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian kerana bimbang pesawat itu akan meletup ekoran kesemua mereka terlupa menutup setiap suis yang ada," tambahnya.
Katanya, mereka bertiga juga hanya mampu berdoa agar segera diselamatkan dan berasa lega apabila mendengar bunyi salakan anjing pengesan ketika jam menghampiri pukul 3 pagi.
"Kami menyahut panggilan pasukan penyelamat dan memberi isyarat menggunakan lampu telefon bimbit. Mujur mereka nampak dan datang memberi pertolongan," katanya.
Ekoran peristiwa itu, Syed Haidhar memberitahu, dia mungkin berehat seketika daripada sebarang aktiviti penerbangan kerana masih trauma dan tidak dapat melupakan kejadian itu.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140112/dn_04/Syed-Haidhar-cerita-detik-cemas-sebelum-diselamatkan#ixzz2qA4umeG0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Cessna terhempas elak helang

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ

Pesawat Cessna 172 yang cuba mengelak burung helang, terhempas dalam hutan berhampiran Empangan Batu, Ulu Yam, Selangor, semalam. (Kanan) Grafik lokasi Cessna terhempas.
KUALA LUMPUR 11 Jan. - Tiga juruterbang yang sedang menjalani latihan penerbangan cedera termasuk dua parah selepas pesawat Cessna 172 yang dinaiki terhempas ketika cuba mengelak daripada merempuh seekor helang berhampiran Empangan Batu, Ulu Yam semalam.
Dalam kejadian pukul 5 petang itu, Kapten Saiful Farid Amri Amrizal, 21, yang merupakan pemandu pesawat ringan itu cedera di bahagian muka sementara dua penumpangnya, Kapten Syed Haidhar Syed Zulkifli, 24, dan Shaiful Zafiq Razali, 23, cedera parah dari pinggang ke bawah.
Pesawat Kelab Penerbangan Diraja Selangor itu juga dikatakan merempuh serumpun pohon buluh di tempat kejadian sebelum terhempas dan patah dua serta hampir terjunam ke dalam tebing anak sungai setinggi kira-kira 50 meter.
Ketiga-tiga mangsa yang cedera kemudiannya keluar daripada pesawat dan berjaya diselamatkan hampir 10 jam kemudian oleh pasukan keselamatan yang melakukan operasi mencari dan menyelamat.
Ketua Pasukan Bomba dan Penyelamat Selangor, Othman Abdullah berkata, pihaknya menjalankan operasi menyelamat kira-kira pukul 9.30 malam ekoran laporan kehilangan sebuah pesawat ringan selepas lebih setengah jam berlepas dari pangkalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi.
Beliau berkata, pasukan mencari dan menyelamat turut menerima panggilan kecemasan daripada seorang individu berhubung kejadian yang sama.
“Pada pukul 10.11 malam kita berjaya mengesan lokasi pesawat dan dua pegawai ditemani dua orang penduduk kampung dihantar untuk memeriksa kawasan itu. Kumpulan ini berjaya menemui kesemua mangsa pada pukul 3.45 pagi," katanya ketika ditemui pemberita di Empangan Batu selepas operasi menyelamat selesai.
Othman memberitahu, pesawat itu didakwa hilang kawalan apabila cuba mengelak daripada merempuh seekor burung helang.
“Itu yang diberitahu mangsa ketika ditanya sejurus mereka ditemui. Kata mereka, apabila cuba mengelak helang, pesawat itu kemudiannya melanggar serumpun pohon buluh lalu jatuh terhempas ke tanah.
“Mereka berjaya keluar daripada pesawat itu dan berjalan sejauh 100 meter sehinggalah berjaya diselamatkan. Berdasarkan apa yang dilihat, keadaan pesawat itu begitu kritikal, mujur kesemua mereka terselamat dan masih sedar ketika ditemui," jelasnya.
Dalam usaha menyelamat itu, seramai 35 anggota dan pegawai yang diketuai Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohd. Sani Haru ditubuhkan untuk mencari mangsa.
Sementara itu, Nor Azilee Abdul Kadir, yang menjadi pegawai bomba terawal menemui mangsa nahas memberitahu, tiga juruterbang tersebut berada dalam keadaan separuh sedar ketika ditemui pada pukul 3.45 pagi.
“Mujur mereka masih sedar ketika kami menjerit mencari mangsa, jika tidak pasti lama lagi kami menemui mereka kerana suasana yang gelap gelita," katanya yang ketika itu bersama seorang lagi pegawai bomba, Rodzlan Othman dalam operasi terbabit.
Seorang penduduk kampung, Darmawan Kamarulzaman, 33, pula berkata, dia terdengar bunyi satu dentuman kuat kira-kira dua kilometer dari arah kawasan kebunnya di Kampung Sungai Tua.
“Saya terus mengarahkan seorang lagi rakan membuat panggilan kecemasan dan sepasukan bomba turut meminta saya menyertai operasi mencari lokasi pesawat itu terhempas.
“Beberapa jam dalam tempoh memeriksa kawasan itu, jeritan kami disahut mangsa dan selepas mencari arah suara tersebut, kami menemui kesemua mereka dalam keadaan berlumuran darah kerana mengalami luka-luka," katanya.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140112/dn_01/Cessna-terhempas-elak-helang#ixzz2qA4Gfqbm
© Utusan Melayu (M) Bhd