Saturday, 11 January 2014

Encik Mimpi tidak bermimipi


WALAU menerima kata-kata tohmahan, Encik Mimpi kekal dengan keputusan untuk memeriahkan industri. Secara tiba-tiba namanya menjadi sebutan, terlajak daripada penggunaan lagu ciptaan dan nyanyiannya untuk sebuah drama bersiri. Hanya mahu dikenali sebagai Encik Mimpi, memilih untuk menjadi penyanyi tidak bermakna dia terpaksa mengorbankan prinsip hidupnya. Percaya ada sesuatu yang mahu dikekalkan, Encik Mimpi (EM) kini tampil dengan konsep bertopeng.
Sekali pandang mungkin ramai yang meragui motif sebenar jejaka ini, namun menurut EM tujuan sebenar dia meneruskan penampilan itu adalah kerana mahu menghargai peminatnya yang mahukan dirinya dengan personaliti tersebut.
Bermula sebagai penulis blog sebelum memilih untuk bergelar penyanyi, menurut EM antara keistimewaan blog kendaliannya itu adalah bagaimana dia berkongsi diari kehidupan sehariannya dengan pembaca sambil menyanyikan lagu ciptaan sendiri.
Mengakui minat dalam dunia nyanyian, menurut EM pada awalnya dia lebih selesa untuk berkongsi karyanya itu di dalam blognya sahaja. Bagaimanapun melihat peluang yang ada, dia terus berusaha meletakkan namanya di dalam industri kini.
“Saya sudah mula menulis blog sejak 2009. Pada waktu itu saya hanya mahu berkongsi pengalaman saya.
“Bagi mencari kelainan, saya gunakan kelebihan yang saya ada untuk menarik perhatian pembaca, dengan meletakkan lagu nyanyian saya untuk setiap entri," katanya ketika ditemui pada sesi fotografi di Cyberjaya baru-baru ini.
Tidak menyangka bahawa suatu hari nanti suaranya akan menghiasi corong-corong radio, menurut EM tujuan dia terus merahsiakan identiti diri bukan bermakna dia takut untuk menerima tekanan populariti yang mungkin akan menghimpit dirinya.
“Saya tidak ada masalah kalau dikenali, kerana seperti orang lain, saya juga bebas untuk berada di luar tanpa topeng.
“Cumanya, penampilan saya dengan topeng ini lebih kepada mahu meneruskan permintaan peminat saya," katanya.
Akan meneruskan penulisannya di blog, menurut EM memandangkan dia dikenali melalui cara itu, bermakna dia akan kekal menjadi penulis blog buat masa ini.
“Walaupun saya sudah menjadi penyanyi, itu tidak bermakna saya akan meninggalkan blog yang membuka laluan saya untuk dikenali sebagai penyanyi.
“Cuma, saya akui dengan tanggungjawab yang semakin bertambah kini, waktu untuk menulis agak terhad," katanya.
Selain menulis blog, EM juga sebenarnya turut mempunyai hobi yang agak unik iaitu melukis. Bagi mereka yang pernah melihat video muzik lagunya yang berjudul Rindukanlah, tentu perasan video tersebut turut menggunakan elemen lukisan kartun.
“Selain menulis, saya juga suka melukis, walaupun tidak terlalu serius ,saya lihat hobi saya ini menjadi antara aktiviti wajib saya.
“Mungkin ada yang tidak faham dengan minat ini, tetapi bagi saya tiada apa yang merugikan memandangkan ia hanya sekadar suka-suka," katanya.
Selesa berahsia
Bercakap mengenai blog miliknya, EM berkata, di awal pembabitan sebagai penulis blog, kebanyakan perkongsian cerita adalah pengalaman hidupnya sebagai seorang pelajar di sebuah universiti luar negara. Tidak menolak pada mulanya ia lebih kepada perkongsian peribadi, dia langsung tidak menyangka kebanyakan pembaca mula memberi sokongan untuk dia meneruskan blog yang dinamakan Encik Mimpi .
“Bila belajar di luar negara, pada mulanya memang kita rasa asing, jadi saya pilih untuk berkongsi perasaan di dalam blog.
“Lama kelamaan blog kelolaan saya meningkat dari segi pengikut, tetapi demi untuk mengelakkan mereka mengetahui siapa penulis, saya tidak pernah memuat naik gambar sebenar saya," katanya.
Bukan sahaja wajahnya disorok, EM juga mengambil keputusan untuk tidak terlalu terbuka memberitahu identiti sebenarnya. Kekal selesa untuk digelar ‘Encik Mimpi’, menurut EM walaupun ada yang janggal dengan panggilan itu, namun dia percaya peminatnya tidak mempunyai masalah dengan keputusan ini
“Saya rasa peminat lebih mementingkan muzik saya, jadi saya tidak fikir mereka terlalu kisah siapa saya sebenarnya.
“Jujurnya, saya juga selesa begini, mungkin sebab saya tahu ada kehidupan lain yang boleh saya jalani sebagai seorang biasa," katanya.
Masih bergelar seorang pekerja di sebuah syarikat teknologi maklumat, buat masa ini menurutnya dia tidak mempunyai masalah untuk membahagikan masa memandangkan waktu kerjanya fleksibel.
“Kadang-kadang kelakar juga mendengar beberapa rakan sekerja menyanyikan lagu saya tanpa mengetahui sayalah ‘Encik Mimpi’ yang sebenar.
“Saya anggap ini antara cabaran yang akan saya lalui, sama ada saya akan membuka topeng wajah ini suatu hari nanti, saya juga tidak tahu," katanya.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Hiburan/20140111/hi_04/Encik-Mimpi-tidak-bermimipi#ixzz2qA7WGLOg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment