Friday, 7 February 2014

Selesa dengan lawak kampung




PERSAINGAN dalam industri hiburan tempatan tidak hanya tertumpu pada cabang seni lakon dan muzik sahaja, malah pentas komedi yang dikuasai oleh pelawak-pelawak yang tampil dengan cara persembahan berbeza juga semakin diterima ramai.
Pertandingan seperti Raja Lawak, Maharaja Lawak dan Maharaja Lawak Mega (MLM) yang dianjurkan saban tahun tidak pernah gagal meraih pengikut yang dilihat semakin bertambah selari dengan kemunculan bakat-bakat baharu yang mewarnai dunia komedi tanah air.
Selain bijak mencuit hati para penonton menerusi lawak jenaka yang dipersembahkan, mereka begitu komited dalam memberikan persembahan yang berkualiti tanpa mengira rasa jemu. Selain itu, bakat-bakat ini juga terbukti mampu menguasai bidang seni yang lain termasuklah bidang lakonan dan nyanyian.
Tidak terlepas daripada suluhan lampu dunia glamor, kumpulan Shiro yang kini makin mendapat tempat di hati peminat mempunyai cara tersendiri dalam mengekalkan momentum mereka dalam memberikan persembahan berkualiti kepada penonton.
Lawak kampung
"Kami selesa mengetengahkan lawak kampung," ujar Ajak ringkas atau nama sebenarnya Mohd. Hanffi Razak, 27, ketika ditemu bual pada majlis pelancaran Royal Slim Lishuo Magic yang berlangsung di N'dah Catering, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Jelasnya, lawak yang dipersembahkan (lawak kampung) sememangnya senang diterima oleh semua lapisan masyarakat. Ia tidak terlalu rumit dan penonton mampu untuk memahami isi kandungan komedi yang cuba disampaikan.

PERSEMBAHAN pada pusingan separuh akhir bersama Awie pada minggu lalu dilihat sebagai klimaks persembahan Shiro.


"Kebanyakan penonton yang setia mengikuti program Maharaja Lawak Mega 2013 (MLM 2013) datangnya dari kampung. Jadi, tidak salah rasanya lawak-lawak seperti ini diketengahkan. Pada pendapat saya, jarang rasanya peguam menonton MLM 2013," ujar Ajak berseloroh.
Menyertai pertandingan seperti ini memerlukan daya pemikiran yang kreatif dan kritis. Selain itu, tempoh masa yang suntuk untuk membuat persediaan menyebabkan setiap peserta harus bertungkus lumus dalam usaha memberikan persembahan yang menarik buat penonton.
Bagi Shahrol Azizie Azmi, 29, atau lebih senang disapa Shahrol, dia mempunyai cara tersendiri dalam mencari idea bagi menghidupkan lagi persembahan Shiro sewaktu beraksi.
"Bagi saya, tempat yang sunyi dan tenang banyak memberikan ruang untuk berfikir dan memerah idea bagi dipersembahan setiap minggu.
Namun, Ajak lebih menggemari tempat-tempat pelik seperti hospital dan stesen kereta api," jelas Shahrol yang gemar mengkaji gelagat orang ramai agar dapat digunakan dalam persembahannya bersama Ajak.
Pelawak baharu
Walaupun kedua-dua jejaka yang berasal dari negeri Johor ini pernah menjuarai pertandingan Raja Lawak musim keenam, kehadiran mereka dalam industri hiburan, terutamanya dalam bidang komedi seperti dipandang sepi dan tidak mampu untuk berdiri sebaris dengan bekas peserta Raja Lawak yang lain.
Namun begitu, setelah mengambil keputusan untuk menyertai MLM 2012 dan 2013, nama Shiro semakin rancak meniti di bibir peminat. Menyedari hakikat itu, Shiro berkata, mereka tidak pernah terfikir untuk kekal selesa dalam liga yang dicipta mereka sendiri.
MENJADI pemenang tempat ketiga MLM 2012, adakah Shiro mampu menjadi juara MLM 2013 yang berlangsung pada malam ini?


"Kami menjuarai Raja Lawak musim keenam pada tahun 2012. Ketika itu, program tersebut telah berpindah dari saluran percuma, kepada saluran berbayar.
"Sedikit sebanyak, jumlah penonton berkurangan kerana Astro Warna merupakan saluran berbayar. Jadi, kemenangan kami mungkin disedari oleh sebilangan kecil penonton yang betul-betul mengikuti perkembangan kumpulan Shiro dari minggu pertama hinggalah ke minggu akhir.
"Setelah mula dikenali menerusi MLM 2012, kami berasa sungguh bersyukur. Sewaktu pergi ke Kuala Selangor baru-baru ini, sebilangan Orang Asli di sana turut mengenali kami. Itu yang membuatkan kami mahu berusaha dengan lebih kuat bagi memberikan yang terbaik kepada peminat," jelas Ajak menyifatkan yang perjalanan karier mereka masih jauh jika mahu dibandingkan dengan rakan-rakan seperjuangan lain.
Tuah humor Awie
Persembahan Shiro pada minggu ke-12 bersama penyanyi rock terkenal, Awie mendapat sambutan yang hangat daripada para penonton.
MLM 2013 yang bersiaran secara langsung dari Dewan MPJB Johor Bahru, Johor itu menyaksikan sebuah gabungan unik yang menampilkan sisi berbeza kedua-dua mereka.
Hanya mengambil masa beberapa jam berlatih bersama Awie sebelum naik ke atas pentas, Shiro dan Awie hanya berbual melalui telefon bagi membincangkan tentang idea dan perancangan tentang gabungan mereka pada malam itu.
"Selama seminggu, saya dah Shahrol hanya bercakap dengan Awie melalui telefon sahaja. Segala perancangan dan idea terpaksa dibincangkan menerusi panggilan telefon.
"Akibat sibuk dengan jadual kerja yang agak padat, kami dapat menjalankan latihan sekitar pukul 7.30 malam bersama Awie sebelum bersiaran secara langsung pada pukul 10 malam," ujarnya.
Dalam pada itu Shahrol menambah, idea bagi persembahan tersebut datangnya daripada Awie sendiri dan mereka hanya menambah beberapa perkara bagi menjadikan gabungan tersebut lebih menarik.
"Awie merupakan seorang selebriti yang cukup berbakat. Dia sangat profesional dan terkenal dengan sifatnya yang kelakar. Jadi, selepas memberikan idea tersebut, kami tidak teragak-agak untuk mempersembahkannya. Tidak sangka ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan," ujar Shahrol.

SHIRO mampu bertahan kerana keserasian dan kesefahaman yang dibina antara satu sama lain.


Saingan sengit
Kalah atau menang merupakan adat bagi sesebuah pertandingan. Sewaktu menyertai MLM 2012, Shiro yang memulakan langkah sebagai juara Raja Lawak musim keenam selesa apabila dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga program tersebut.
Kali ini, selepas beberapa kali tampil dengan persembahan yang hebat, ramai yang mengatakan bahawa Shiro bakal menjuarai MLM 2013.
Bersyukur dan menghormati andaian yang dibuat, Ajak berkata, selain memerlukan persembahan berkualiti, saingan yang diberikan oleh para peserta pada penganjuran MLM 2013 kali ini begitu sengit.
"Para peserta yang berjaya untuk beraksi pada final MLM 2013 begitu hebat. Kebanyakan daripada mereka merupakan bekas juara Raja Lawak dan mempunyai peminat yang ramai.
"Jika ada yang mengatakan kami bakal menggondol gelaran juara, kami terima dengan hati yang terbuka.
"Setakat ini, kami tidak meletakkan apa-apa harapan terhadap gelaran juara. Apa pun, kami akan mencuba sehabis baik pada malam final nanti," ujarnya mengakhiri perbualan.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0207&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2sdbtFOqo 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment