
BERKAWAN, berkasih, putus cinta dan kini percintaan itu kembali bertaut, lantas diikat dengan tali pertunangan. Akhirnya pasangan sejoli ini bakal melangkah ke jenjang pelamin. Itulah rentetan kisah pahit manis antara Misha atau Samiha Omar, 32, dengan Firos Ezzwan Rosly, 32, yang akan disatukan sebagai suami isteri pada Mei ini selepas dua kali menangguhkan pernikahan.
Misha sewaktu berkongsi berita kegembiraannya dengan wartawan, Isnin lalu pada majlis minum petang di Petaling Jaya berkata, apa yang dilaluinya hingga hari ini sukar untuk digambarkan.
Saya sendiri tidak percaya akan bergelar isteri dalam tempoh tiga bulan dari sekarang. Kalau ikutkan, saya tidak kuat dan belum bersedia lagi untuk melangkah ke alam rumah tangga kerana masih lagi berduka dengan pemergian arwah bapa (Omar Ismail) pada 30 November lalu.
Mama (Zainab Mat Nor, 49) yang memberi semangat. Mama kata hidup mesti diteruskan dan pernikahan saya tidak boleh ditangguhkan lagi. Katanya, cukuplah sudah dua kali tangguh. Memandangkan ini adalah kehendak mama, saya ikut sahaja," jelasnya.
Menurut Misha, dia perlu akur dengan permintaan mamanya yang mahu majlis pernikahan dilangsungkan pada Mei ini kerana ia juga bersempena dengan bulan Rejab.
Bagaimanapun kata Misha, tarikh sebenar pernikahan hanya akan diumumkan sewaktu kad undangan diedarkan.
Mengikut perancangan awal selepas bertunang pada 21 Februari 2012, Misha dan Firos bakal disatukan pada 16 September tahun yang sama. Namun ditunda kerana Misha ingin memberi ruang kepada Firos menumpukan perhatian pada kerjaya dan tarikh 21 Februari tahun ini dipilih sebagai ganti tetapi sekali lagi ditunda ke bulan Mei.
Majlis pernikahan penyanyi yang popular dengan lagu Bunga-Bunga Cinta itu akan diadakan di Hotel Renaissance, Kota Bharu, Kelantan dan majlis di ibu kota hanya akan diadakan di sebelah pihak lelaki sahaja.
Saya lebih suka majlis itu diadakan dalam suasana sederhana dalam kalangan sanak saudara dan sahabat handai sahaja. Sebab itulah saya tidak meminta barang hantaran yang mahal atau mas kahwin berbentuk wang ringgit.
Saya lebih suka kalau dia (Firos) beri saya sesuatu sebagai simbolik cinta kami. Dalam perkara ini saya lebih memikirkan soal masa hadapan berbanding apa barangan yang bakal saya terima pada hari pernikahan," katanya yang akan memberi lima dulang hantaran, berbalas lima dulang juga.
Kenal hati budi
Jelas Misha, dia tidak sangka bahawa perkenalannya dengan Firos sudah memasuki lapan tahun dan dalam tempoh tersebut pelbagai perkara telah berlaku, namun mereka masih bersama.
Kesediaan Firos menempuh suka duka dan sentiasa berada di sisinya menambahkan keyakinan Misha bahawa lelaki itu dicipta untuknya.
Lagipun Firos adalah seorang lelaki yang bertanggungjawab dan sikap prihatinnya terbukti sewaktu bapa Misha terlantar sakit. Malah lelaki itu juga amat menyayangi anak angkatnya, Muhammad Adam Emir, 8.
Dia seorang yang penyayang dan sering mengambil berat soal saya dan keluarga. Sewaktu bapa sihat, mereka sering lepak bersama dan sewaktu bapa terlantar sakit, dia pasti meluangkan masa untuk datang menziarah walaupun sibuk dengan tugasan.
Dari situ saya dapat rasakan yang dia seorang lelaki bertanggungjawab.
"Bukan itu sahaja, setiap kali saya dilanda masalah dengan pelbagai tuduhan, dia sentiasa berada di sisi memberi semangat. Dia tahu saya orang yang bagaimana dan sebab itulah dia tidak mudah melatah dengan cerita-cerita yang dilontarkan kepada saya," kata Misha tentang peribadi Firos yang menarik hatinya.
Sementara itu, Firos berkata, dia sanggup menunggu Misha dan tidak pernah mendesak wanita itu untuk menjadi suri hidupnya walaupun dua kali menangguh pernikahan.
Saya mengenali dia sebagai Samiha dan bukan Misha seorang penyanyi. Selama kami berkawan dan bercinta, dia sering menjadi dirinya yang sebenar dan sikapnya yang sederhana itu membuatkan saya rela menunggu untuk menjadikan dia suri hidup," katanya terus terang.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20140207/hi_03/Mei-ijab-kabul-Misha#ixzz2sdeGMie5
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment