Saturday, 31 August 2013

Miliki rumah melalui Prefer 1Malaysia

 

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Para pelabur Amanah Saham Bumiputera (ASB) kini berpeluang memiliki rumah melalui Skim Perumahan Prefer 1Malaysia yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lama lagi.

Skim yang diperkenalkan oleh Konsortium Marak Strategi terdiri daripada Marak Strategi Sdn. Bhd., NCT United Development Sdn. Bhd., Spind Malaysia Sdn. Bhd., sebagai pembekal bahan binaan dengan sokongan Gabungan NGO Malaysia, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Pewaris Malaysia, Batas Malaysia dan Srikandi Malaysia.

Presiden Kumpulan Marak Strategi Sdn. Bhd., Datuk Muhammad Ismail Amairuddin berkata, skim tersebut akan membantu golongan bumiputera memiliki kediaman berharga RM150,000 hingga RM250,000 dengan bayaran antara RM400 dan RM700 sebulan.

Menurutnya, langkah itu juga sebagai menyokong hasrat kerajaan memastikan setiap keluarga memiliki sebuah rumah selaras dengan moto iaitu 1Rumah 1Keluarga 1Juta 1Malaysia.
“Projek Prefer 1Malaysia merupakan projek berimpak tinggi yang menggunakan sepenuhnya sistem transformasi dan inovasi di dalam sistem pembinaan rumah dan kewangan hartanah melalui kerjasama pihak bank, agensi berkaitan kerajaan dan syarikat swasta secara konsortium.
“Mekanisme yang dimajukan oleh syarikat Marak Strategi Sdn. Bhd., bersama pihak kerajaan dengan konsep kewangan pelaburan simpanan termasuk konsep kewangan Islam itu merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia dan dunia bagi ahli koperasi, kakitangan kerajaan dan ahli NGO (pertubuhan bukan kerajaan)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara konsortium berkenaan dengan Gabungan NGO Malaysia yang disaksikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden Gabungan NGO Malaysia, Md. Radzi Daud; Pengarah Urusan Spind Malaysia Sdn. Bhd., Catherine Yap; Presiden Srikandi Malaysia, Norashikin Abd. Ghani dan Presiden Pewaris Malaysia, Datuk Paduka Ab. Malek Ranting.

Muhammad Ismail berkata, skim Prefer 1Malaysia adalah projek pembinaan rumah bersama skim sewa beli bernilai sebenar seperti RM360,000 tetapi hanya mengenakan pembayaran bulanan yang rendah.

“Setelah diberi insentif tanggungjawab sosial korporat (CSR) penyewa beli rumah hanya perlu membayar ansuran keseluruhan sebanyak RM150,000 hingga RM250,000 bersih dalam tempoh 25 tahun," katanya.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya telah membina 700 unit rumah pangsapuri dan teres di Dengkil, Selangor dan daripada jumlah itu, hanya tinggal 263 unit yang boleh dibeli melalui skim Prefer.
“Kami menyasarkan sebanyak 50,000 orang pembeli setahun menggunakan konsep Prefer yang akan menyumbang simpanan pelaburan sebanyak RM10 bilion dalam tempoh setahun dan berterusan untuk tempoh 25 tahun menjadikan simpanan pelaburan rakyat mencecah RM250 bilion.
“Malah, dijangka sebanyak hampir 1,000 tender bakal dikeluarkan setahun melibatkan nilai kontrak sebanyak RM7.5 bilion setahun," katanya.

Menurut beliau, setiap rumah yang ditawarkan dengan pakej perumahan dilengkapi perabot, yuran guaman percuma, cukai pembelian percuma, kemudahan dua lot tempat letak kereta, insurans rumah dan skim pembayaran ansuran Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional yang diserap dalam pembayaran sewa beli serta insurans perubatan bernilai RM1,200 setahun.
Sementara itu, Ahmad memuji usaha konsortium itu membantu kerajaan untuk membina sejuta rumah mampu milik dalam masa lima tahun.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130830/dn_10/Miliki-rumah-melalui-Prefer-1Malaysia#ixzz2dYSzKU73
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment