
Gambar fail bertarikh 11 Februari 1990, menunjukkan Nelson Mandela (kiri) yang ditemani isterinya ketika itu, Winnie, menyambut sorakan para pengikutnya selepas dibebaskan daripada tahanan penjara selama 27 tahun di Cape Town, Afrika Selatan. - REUTERS
Berita pemergian Mandela diumumkan Presiden, Jacob Zuma dalam ucapannya menerusi stesen televisyen negara itu yang meminta semua pihak mengibarkan bendera kebangsaan separuh tiang sempena pemergian tokoh demokrasi tersebut.
"Pengasas negara demokrasi Afrika Selatan, Nelson Rohlihla Mandela telah pergi meninggalkan kita dan beliau meninggal dunia dengan aman di kediamannya," kata Zuma.
Zuma turut memaklumkan Mandela akan disemadikan dalam satu upacara pengebumian penuh istiadat.
Jelas beliau, majlis pengebumian pemimpin tersebut akan diadakan pada 15 Disember ini di Qunu, wilayah Cape Timur, Afrika Selatan.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kongres Kebangsaan Afrika (ANC), Gwede Mantashe berkata, pihak berkuasa akan memastikan majlis pengebumian Mandela di Qunu akan kekal sebagai acara keluarga dan tidak akan diadakan secara besar-besaran.
"Kita bimbang kerana kawasan ini tidak mempunyai kemudahan infrasturuktur yang baik. Kita tidak mahu berlaku insiden bersesak-sesak," katanya.
Menurut Mantashe, Afrika akan berkabung selama 10 hari, dan pada hari kesembilan, dijangkakan ribuan orang dari seluruh Afrika Selatan dan negara jiran akan hadir ke rumah Mandela untuk memberi penghormatan terakhir.
Mandela merupakan pemimpin yang paling dihormati kerana keberaniannya mencabar dasar aparteid yang dilaksanakan oleh minoriti kulit putih ke atas golongan berkulit hitam.
Sementara itu, dua anak perempuan Mandela mengetahui berita kematian bapa mereka ketika hadir untuk tayangan perdana filem Mandela: Long Walk to Freedom di London semalam.
Zindzi dan Zenani dilaporkan baru sahaja bertemu dengan beberapa orang kenamaan termasuk Putera William dan isterinya, Catherine sebelum bergegas keluar daripada panggung wayang sejurus menerima satu panggilan telefon yang memaklumkan berita sedih itu. - REUTERS/BERNAMA/AFP
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131207/lu_01/Nelson-Mandela-meninggal-dunia#ixzz2mmIJxIIc
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment