Oleh KAMIL MASLIH : pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 30 Dis. - Pergerakan Pemuda UMNO menggesa ambang Tahun Baharu 2014 disambut dengan cara Islam dan tidak perlu membabitkan acara konsert, hiburan atau pertunjukan bunga api.
Exco Pemuda UMNO, Azmir Yuzaimi Mohd. Yunos berkata, pengisian sambutan Tahun Baharu sewajarnya diisi dengan solat hajat, bacaan surah Yasin dan doa selamat di masjid dan surau seluruh negara.
"Saya menyokong penuh kenyataan Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar supaya membatalkan sahaja acara sambutan Tahun Baharu dan mengisinya dengan program-program keagamaan Islam.
"Saya berharap kerajaan mengambil kira pandangan Pemuda UMNO ini kerana matlamat kita adalah untuk melahirkan modal insan yang tidak terlalu terpengaruh dengan budaya hedonistik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini sini hari ini.
Menurut Azmir yang juga Pengerusi Biro Agama Pemuda UMNO, pihaknya juga mengecam hasrat kumpulan tertentu yang hendak menggunakan sambutan ambang Tahun Baharu 2014 di Dataran Merdeka esok untuk menggulingkan kerajaan.
"Memang sudah jadi kelaziman orang berkumpul apabila ada sambutan Tahun Baharu, apa yang akan berlaku adalah pihak tertentu ini hendak mengambil kesempatan untuk mewujudkan budaya yang lebih buruk lagi.
"Bukan kita hendak menidakkan acara hiburan tetapi kita tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan memecahbelahkan masyarakat dan kemudiannya merosakkan harta benda awam sebagaimana yang berlaku dalam banyak perhimpunan haram sebelum ini," katanya.
Menurut beliau, pendekatan Islam sewajarnya digunakan kerajaan kerana program kerohanian seperti 'Malaysia Berselawat' begitu dekat kepada hati rakyat sehingga berjaya menarik penyertaan 15,000 orang di Stadium Hoki Bukit Jalil di sini, 7 Disember lalu.
"Saya juga ingin menyarankan syarikat-syarikat korporat untuk mengalihkan dana konsert-konsert Tahun Baharu itu menjadi bantuan kepada masjid dan surau mengadakan solat hajat bagi mendoakan Malaysia lebih aman dan sejahtera," katanya.
Dalam perkara berasingan, Azmir mengingatkan pihak pembangkang tidak memutarbelitkan ucapan Selamat Hari Natal daripada Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin di laman media sosial untuk merendahkan kedudukan agama Islam.
"Apa yang saudara Khairy lakukan hanya menceritakan pengalamannya di luar negara, kita tetap berpegang kepada Majlis Fatwa Kebangsaan dan ucapan Selamat Hari Natal itu ditujukan kepada masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.
"Sekiranya hendak diputarbelitkan pun saya rasa tidak wajar kerana Ahli Parlimen Kota Raja daripada Pas (Dr. Siti Mariah Mahmud) juga menggantungkan kain rentang besar bagi mengucapkan Selamat Hari Natal," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131231/dn_11/Sambut-tahun-baharu-cara-Islam#ixzz2p477aVmU
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment