Oleh ZUARIDA MOHYIN
KETANDUSAN hati dewasa ini adalah suatu penyakit
yang ketara di tengah-tengah masyarakat. Ramai yang susah hati, gelisah, tidak
merasa tenteram dan tenang, waima kehidupan mereka disaluti kemewahan dan
kemudahan.
Oleh itu, benarlah bagai dikata bahawa kebahagiaan
hakiki bukanlah terletak kepada kekayaan harta benda dan kekuasaan namun
bertitik-tolak pada hati yang sejahtera.
Malahan kebersihan dan kesejahteraan hati ini
sangat penting nilaiannya kepada Allah SWT serta balasan di akhirat kelak
sebagaimana yang ditegaskan di dalam firman-Nya yang bermaksud: ...(iaitu)
pada hari harta dan anak-pinak tidak berguna, kecuali orang yang mengadap Allah
dengan hati yang bersih dan (pada hari itu) didekatkanlah syurga kepada
orang-orang yang bertakwa dan diperlihatkan dengan jelas neraka jahim kepada
orang-orang yang sesat. (al-Syu'ara: 88-91)
Hati ibarat raja yang mengarahkan seluruh anggota
tubuh untuk menurut perintah hati. Malahan di hatilah akan terpancar perasaan
suka, duka, benci, marah, gembira, sedih dan sebagainya.
Lantaran itu, beruntunglah manusia yang memiliki
hati yang suci bersih kerana dia akan melakukan perkara-perkara yang diredai
Allah. Sebaliknya, mereka yang memiliki hati yang hitam, kotor serta dikuasai sifat
mazmumah, sudah tentulah mereka sengaja menempah jalan kebinasaan, sama ada di
dunia mahupun di akhirat.
Allah SWT mengingatkan di dalam al-Quran: Sesungguhnya
pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta bertanggungjawab.
(al-Israk: 36)
Ini menjelaskan, hati dipertanggungjawabkan atas
apa yang berlaku. Ia ibarat seperti penggembala, di mana dia
dipertanggungjawabkan sekiranya haiwan gembalaannya itu rosak atau merosakkan
tanaman.
Oleh sebab itulah, menjaga hati menjadi keutamaan
kepada setiap manusia supaya tidak terlalu mengikut hawa nafsu yang didalangi
oleh syaitan. Ini kerana syaitan maklum, untuk menyesatkan umat manusia, ia
masuk menyusup ke dalam hati manusia.
Buku terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd. yang berjudul,
Bahagiakan Hatimu memberi panduan bagaimana untuk menguruskan hati
dengan kaedah yang sebaik-baiknya supaya tidak terjerumus ke lembah penghinaan
atau mengikut telunjuk syaitan yang durjana.
Tajuk 'Zakat Hati Membersihkan Jiwa' pada Bab 10 di
dalam buku ini menarik untuk dihayati kerana bagi penulis ia menyelongkar
rahsia di sebalik berzakat yang tinggi manfaatnya kepada bukan sahaja penyucian
hati tetapi kepada penyucian serta keberkatan harta yang diperoleh. Di dalam
bab ini juga, diterangkan tentang pertalian rapat antara mata dengan hati.
Bagi mereka yang berjaya menahan atau menghalang
pandangan daripada melihat perbuatan yang melanggari perintah-Nya, Allah SWT
mengurniakan tiga keuntungan yang besar dan berharga.
Boleh dikatakan 11 bab yang cuba diketengahkan di
dalam buku ini wajib dimanfaatkan kerana tajuk-tajuknya bukan sahaja mengujakan
dalam usaha berterusan kita mencari penawar penyakit hati.
No comments:
Post a Comment