Wednesday, 26 December 2012

TARIKH PEMBAYARAN GAJI KAKITANGAN AWAM 2013

Jadual Gaji 2013 : Tarikh Pembayaran Gaji Kakitangan Awam?

BULANTARIKHNOTA
Januari23 Januari 2013 (Hari Rabu)
Februari*25 Februari 2013 (Hari Khamis)Tahun Baru Cina: 10 & 11 Februari 2013
Mac25 Mac 2013 (Hari Isnin)
April25 April 2013 (Hari Khamis)
Mei23 Mei 2013 (Hari Khamis)Pesta Menuai : 30 & 31 Mei 2013
Jun* 25 Jun 2013Hari Gawai : 1 & 2 Jun 2013
Julai25 Julai 2013 (Hari Khamis)
Ogos* 22 Ogos 2013 (Hari Khamis)Hari Raya Puasa : 8 & 9 Ogos 2013
September25 September 2013(Hari Rabu)
Oktober8 Oktober 2013 (Hari Selasa)Hari Raya Haji 2013 : 15 Oktober 2013
November25 November 2013Deepavali : 2 November 2013
Disember* 18 Disember 2013Hari Khamis : 25 Disember 2013)

TAKWIM CUTI SEKOLAH 2013

Tuesday, 25 December 2012

BANJIR DI PANTAI TIMUR

Jumaat  21 Disember 2012, aku sekeluarga bercuti dan balik ke Kelantan menghantar anak ku untuk posting di Hospital Kota Bharu.

Di sepanjang perjalanan pulang melalui Lebuh Raya Utara-Selatan dan Grik-Tanah Merah suasana cuacanya agak mendung. Disepanjang perjalanan melalui Jalan Grik-Tanah Merah, jalannya berkabus. Dipuncak bukit nya nyaman, udara sangat sejuk. Orang ramai memenuhi ruang rehatnya, susah untuk berhenti kerana terlalu ramai orang berhenti.. Kereta pun bertali arus.. ramai juga orang yang bercuti ke kelantan. Yalah..musim cuti sekolah.

Setelah menyusuri jalan selama 3 jam, kami singgah sebentar di Batu Melintang untuk berehat dan makan tengahari...makan nasi berlaukan ikan darat (ikan sungai). Wah enaknya ikan fresh yang baru ditangkap dekat tasik. Musim hujan ni, banyak ikan darat senang dapat dipancing, pukat atau jala.

Tiba-tiba hujan turun..dari renyai-renyai menjadi semakin lebat. Mau tak mau kami harus meneruskan perjalanan ke kampung ku.

Sesampai ke rumah ku..hujan mencurah-curah turun.. Banjir mula memasuki kediaman ku jam 3.30 pagi.  Semua ahli keluargaku bangun menyelamatkan selipar dan barang-barang lain yang belum sempat dikemas kerana kami fikirkan banjir masih belum menyerang kediaman kami..

Selama 3 hari jugalah kami terkurung kat  rumah kerana air  naik sehingga ke paras pinggang disekitar  kampung ku. Sehingga hari ini Selasa 25 Disember 2012 baru aku berpeluang untuk keluar dari kampung ku dan terus balik ke Selangor.

Alhamdulillah..kami selamat sampai ke S. Alam pada jam 6.30 petang selepas bertolak dari rumah ku pada jam 9.30 pagi. Sekali lagi kami  balik melalui L/Raya Tanah Merah-Grik kerana banjir di Kuala Krai  agak teruk dan  tidak dapat untuk dilalui oleh kenderaan ringan.

Thursday, 6 December 2012

Spinal Cord Injury

Minggu ini agak kesibukan sikit kerana menghadiri Seminar Spinal Cord Injury di Hotel Hilton pada 29/11-2/12/2012.

Terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur kerana telah berjaya mengadakan Seminar Ascon (Asian Spinal Cord Conferance 2012)

Seminar ini dihadiri oleh peserta dari negara-negara asean untuk berkursus dan bermesyuarat  membincangkan mengenai kes-kes Spinal Cord ; berkenaan kes, perkembangan rawatan di  negara masing-masing. 

Thursday, 8 November 2012

Hari Kelepasan Am 2013

HARI-HARI KELEPASAN AM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN TAHUN 2013

HARI-HARI KELEPASAN AM NEGERI


1.
Tahun Baru 2013
-
1 Januari 2013 (Selasa)
2.
Hari Thaipusam
-
27 Januari 2013 (Ahad)
3.
Hari Nuzul Quran
-
26 Julai 2013 (Jumaat)
4.
Hari Keputeraan                                               Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor
-
11 Disember 2013(Rabu)



HARI-HARI KELEPASAN AM PERSEKUTUAN


1.
Tahun Baru Cina
-
10 Februari 2013 (Ahad)
11 Februari 2013 (Isnin)
2.
Hari Keputeraan Nabi Muhammad
S.A.W (Maulidul Rasul)
-
24 Januari 2013 (Khamis)


3.
Hari Pekerja
-
1 Mei 2013 (Rabu)
4.
Hari Wesak
-
24 Mei 2013 (Jumaat)
5.
Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong
-
1 Jun 2013 (Sabtu)

6.
Hari Raya Puasa (*)
-
8 Ogos 2013(Khamis)
9 Ogos 2013(Jumaat)
7.
Hari Kebangsaan
-
31 Ogos 2013 (Sabtu)
8.
9.
Hari Malaysia
Hari Raya Haji/Qurban (*)
-
-
16 September 2013 (Isnin)
15 Oktober 2013 (Selasa)
10.
Hari Deepavali
-
2 November 2013 (Sabtu)

11.
Awal Muharram (Maal Hijrah)
1435 Hijrah
-
5 November 2013 (Selasa)
12.
Hari Krismas
-
25 Disember 2013 (Rabu)


Friday, 12 October 2012

Pasukan Red Worrior ke Final

Tanggal 12 Oktober 2012 telah menjadikan aku tidak sabar menunggu kehadiran jam 8.40 malam untuk aku saksikan perlawanan bola sepak separuh akhir pasukan negeri ku menentang negeri tempat tinggal aku sekarang. Namun hatiku tetap bersama negeri kelahiranku. Hatiku tetap setia pada mu!!!!

Debaran menunggu siaran langsung perlawanan ini menjadikan aku tak keruan. Sabar..sabar... Doaku tak putus-putus mengharapkan kejayaan pasukan negeri ku.

Separuh masa pertama agak mengecewakan walaupun terdapat peluang-peluang untuk kelantan mendapat gol... tapi tak dapat disudahi dengan baik... kecewanya aku..tapi aku faham belum rezekinya lagi... jangan salah kan pemain kerana mereka telah bermatian mencuba untuk mendapat kemenangan.

Separuh masa kedua, perjuangan segit akhirnya membuahkan hasil yang baik.... Alhamdulillah...

Terkesima dengan gol jaringan M.Ghadar yang melayakkan pasukan bola negeri ku dapat melangkah ke perlawanan akhir piala malaysia.

Tambah membanggakan gol kedua yang sangat cantik dan tidak dijangka....

Tahniah Kelantan, terima kasih seluruh team yang telah memberi komitment yang sepenuhnya untuk mencapai kejayaan ini.

Terima kasih kepada semua rakyat kelantan kerana mendoakan kejayaan Red Worrior !!!

Aku sentiasa mendoakan agar Pasukan Red Worrior dapat menjuari Piala Malaysia 2012 pada 20 Oktober 2012 nanti, InsaALLAH.

Saturday, 6 October 2012

Hati seorang ibu disaat anak-anak menghadapi peperiksaan

Hati seorang ibu
bergelodak dan bergelora
tatkala disaat
anak-anak menghadapi peperiksaan.

Hati seorang ibu
tiada dapat melelapkan mata
tiada dapat memaksa selera makan
tiada dapat melepaskan keresahan
hanya dia dan hatinya saja
yang tau....

Hati seorang ibu
Tiada seorang yang akan mengetahui
perasaan terpendam itu
hanya seorang ibu
yang  menghadapi
situasi  itu akan tahu
akan rasanya....

Pada siapa
ibu ingin bercerita
pada siapa
ibu ingin menagih perhatian
tentang perasaan itu
pada anak-anak
mereka tidak akan memahami
sehingga suatu waktu nanti
pabila mereka menjadi ibu.

Hati seorang ibu...
hanya ibu saja yang merasa...
jua pasrah dan reda
pada Yang Maha Esa...

Thursday, 4 October 2012

Pantasnya Masa itu berlalu

Sedar atau tidak
2012 telah hampir ke penghujung
meninggalkan semalam
yang terlalu baru aku rasakan
menjegah dan menjemput bersama
kehadiran Januari 2012

Sedar atau tidak
selangkah usiaku berlalu
meninggalkan dewasaku
mengenjak ke usia seterusnya..

Pun..
Januari 2013 akan muncul
sedikit masa lagi
tanpa aku sedari..

Terlalu pantasnya
masa itu berlalu
meninggalkan semalam
menghadirkan hari ini
hari esok..
dan seterusnya..

Sehingga
pada suatu waktu
pasti
akan kembali menemui Nya
ALLAH ampunilah dosa ku...


Sunday, 30 September 2012

BUDGET 2013


Alhamdulillah
bersyukur pada Yang Maha Esa
masih dapat PM
mengumumkan budget
tidak seperti sesetengah negara
yang bergolak dan bertelagah
peperangan dan persengketaan berlanjutan.

Alhamdulillah
bersyukur pada Yang Maha Esa
aku masih dapat
menerima menafaat
dari budget yang telah dibentangkan
kerana Negaraku Malaysia
masih aman dan damai...

Alhamdulillah
semoga keamanan ini kekal selamanya
jangan ada yang cuba merosakkan
kedamaian dan keamanan ini..
bersyukurlah dengan nikmat
yang Tuhan berikan...

Doaku
Semoga Negaraku
Aman selamanya...

Friday, 21 September 2012

Usia Tua Di Katil Hospital

Hatiku tersentuh
pabila melihat pesakitku
terbiar di katil hospital
tanpa anak-anak
tanpa waris terdekat
datang menjenguk.

Hatiku tersentuh
pabila pesakitku
mengalirkan air mata
menceritakan perihal diri
terbiar di katil hospital
kerana anak-anaknya sibuk
tidak dapat menjenguk
walaupun hanya untuk seketika

Hatiku tersentuh
pabila pesakitku sendiri
tiada siapa yang akan menyapa
untuk bertanya khabar
sedangkan
semalam
merekalah yang sentiasa
bersengkang mata
berkorban segalanya
demi menjaga
anak-anak tersayang..

dimanakah kita
diusia tua nanti...
terbiar dikatil hospital?
terbiar dirumah tumpangan?
terbiar dirumah kebajikan?
atau
bersama anak-anak
dan keluarga tercinta
yang sentiasa menyayangi kita
hingga ke akhir nyawa..

Monday, 17 September 2012

CEPATNYA MANUSIA MENGUBAH BICARA...

Telefon berdering mengejutkan aku dan suami. Emak mertuaku mengesahkan bahawa ada orang kampung yang ingin menjual tanahnya dengan harga yang agak murah kerana terdesak untuk menggunakan duit. Kata emak, mereka nak jual tanah seluas 2 ekar dengan harga 10 ribu ringgit.

Puas aku berfikir, boleh gak lah.... buat aset untuk masa depan. Kalau ada yang nak usahakan, boleh lah buat kebun atau tanam pokok getah.. lagi pun sekarang harga getah boleh tahan juga..

Aku dan keluarga balik kampung untuk melihat sendiri kebun tersebut dan berhasrat untuk berjumpa dengan tuan tanah yang dimaksudkan oleh emak.

Perjalanan ke Perak agak perlahan kerana jalanraya sesak dengan kereta.  Wah! ramai juga orang balik kampung walaupun hujung bulan. Mungkin kerana cuti yang agak panjang sempena Hari Malaysia ramai yang mengambil kesempatan untuk balik kampung atau bercuti ke destinasi- destinasi yang tertentu di Negeri Perak, Kedah, Penang dan Perlis.

Sekembalinya aku ke kampung. Kami telah menemui tuan tanah yang dikatakan ingin menjual tanahnya. Alangkah terkejutnya kami kerana dia memberitahu bahawa tanah tersebut akan dijual dengan harga 70 ribu. Semalam kata 10 ribu tetapi bila kami balik untuk menetapkan harganya, ianya  telah berubah. Nasib baik aku tidak terus membuat pinjaman bank untuk membuat pembayaran  bagi pembelian tanah tersebut.

Manusia....terlalu cepat berubah... sekejap kata begini sekejap lagi dah jadi begitu pula..

Mulut manusia terlalu cepat berubah...atau ada spekulasi disebaliknya... cuma nak deposit segera dan tanahnya tidak ada hak milik? hanya teka teki bermain difikiran....

Akhirnya kami tak jadi untuk berurusan dengan orang yang cakap tak serupa bikin... biarlah tak dapat
harta pun dari ditipu dalam diam...

Saturday, 8 September 2012

Temanku, aku merindui kalian..

Teman 
Hari ini aku tiba-tiba  merindui kalian
merindui semalam yang pernah kita tinggalkan
merindui kenangan yang pernah kita lalui bersama
merindui masa yang pernah kita habiskan bersama
bergembira, bersedih, berkongsi rahsia suka dan duka
indahnya masa itu kan???

Teman
hari ini kita tidak seperti semalam lagi
malah
kita tidak mungkin dapat mengembalikan semalam
untuk menjadikannya realiti
kerana semalam dialam persekolahan
kita bebas sebebasnya
untuk lakukan semua aktiviti bersama
kini...
kita sudah terikat
bersama keluarga
bersama kerja
bersama tanggungjawab
bersama segalanya...
serta
berjauhan  tempat tinggal
aku disini
dia disana
engkau diseberang lautan

Teman
Mungkinkah suatu hari
kita mungkin dapat bersama..
berkongsi segala  kenangan..


Wednesday, 5 September 2012

KENANGAN DI PUTRAJAYA

Semalam,
kutemui seorang teman
yang pernah bersama
di Hospital Putrajaya

Dia menyapaku
dalam kekalutan tugas
membicarakan
tentang putrajaya
semasa kami pernah bersama

Maafkan aku teman
jika aku tidak mampu
untuk mengiggatkan
kenangan semalam itu
tidak mampu
untuk mengenali dirimu
tidak mampu
untuk mengembalikan
keseluruhan
kenangan semalam
kerana..
telah lama kutinggalkan
putrajaya dan kenangannya
telah lama kutinggalkan
segala suka dan dukanya.

Yang masih kekal diingatanku
hanyalah
kenangan bersama
Tun Hasmah
membantu merawatnya

Kenangan itu
masih kekal diingatanku
sehingga kini
walaupun sudah bertahun kutinggalkan..


 

Friday, 31 August 2012

MERDEKA KE 55

Alhamdulillah..
aku masih mampu menghirup deru angin saat ini
dalam keadaan aman dan damai
ketenangan dan kesejahteraan

Namun..
mampukah keharmonian ini
akan terus berlanjutan
dek propaganda
dek ketidakbersatuan insan
rakyat malaysia

Kerana...
kefahaman yang berbeza
ketaksuban untuk menjadi pemimpin
kecelarauan untuk memerintah
perebutan dek dendam membara..
menjatuh dan cuba menjatuh
sesama melayu..

Sedih..
andainya
segala apa yang dikecapi hari ini
akan hancur
dan menjadi debu beterbangan..

Pun
kita akan menjadi
pengemis di negeri sendiri..

Apalah nasib
anak2
dan
cucuku nanti ?????

Tuesday, 28 August 2012

Cuti Raya

Aku mula bekerja selepas bercuti seminggu, berhari raya di kampung. Penat rasanya!! masih belum habis dirasai.

Suasana hari raya di kampung halamanku amat menyeronokkan. Semua ahlil keluarga berkumpul di rumah emak ku di kampung. Keriuhan anak buah ku menjadikan rumah  hiruk pikuk dengan suara mereka.

Namun kesesakan jalanraya semasa balik tidak dapat dibayangkan..

Thursday, 9 August 2012

BULAN RAMADAN

Sedar tak sedar
bulan Ramadan datang lagi menjenguk
Alhamdulillah
aku masih sempat melaluinya
untuk sekali lagi.

Bulan puasa
membataskan
kunjungan ku keruangan ini
kesibukan
keletihan
menjadikan masa terhad

Walau
kerinduan memuncak
untuk berkunjungan
namun
keletihan
menjadikan
masaku
terhad.

Masa itu pantas berlalu

Terlalu pantas rasanya masa itu berlalu
tanpa aku sedari ramadan akan berlalu
tanpa aku sedari  raya akan menjelma
tanpa aku sedari aku telah kehilangan
seorang sepupu ku
yang telah kembali menyahut
panggilan Illahi pada Hari Nuzul AlQuran
tanpa ku sedari
jiran sebelah rumahku
yang sentiasa
mengambil berat
perihal keluargaku
pergi jua pada 8 Ogos 2012

Bagai mimpi ku rasakan
tapi
sebenarnya
semua itu adalah realiti
yang harus aku terima.

Pun
aku masih terus bergini
melayari kehidupan
bagai hari-hari sebelumnya
masih sibuk
mengejar hari-hari yang tersisa
berlari bersama tugasan
yang membutuh pengorbananku.

Tuesday, 17 July 2012

Akhirnya Kau Pergi Jua

Pesakitku,

Hari ini
aku terbayangkan wajahmu
yang lesu dan sepi
yang kurus dan layu
yang sentiasa semput
di setiap penghujung bicaramu

Masih segar diingatan ku
bicaramu
senyumanmu
keresahanmu
kesedihanmu
disaat akhir pertemuan itu.

Maafkan aku
kerana aku tak mampu
untuk berdiri disebelahmu
dihari akhirmu
esakan anak-anak mu
menjadikan aku hiba
menatap keadaan itu.

Semoga rohmu
dicucuri Rahmat oleh Nya
dan ditempatkan
bersama orang beriman
Amin


Tuesday, 10 July 2012

Pesakit ku...akhirnya kau pergi jua

Semalam, kehadiran ku ke wad tempat aku bertugas telah dikejutkan dengan berita bahawa salah seorang pesakit ku berada dalam keadaan kritikal.  Terkejut aku dengan perkhabaran itu. Aku terus ke katil pesakit tersebut.  Aku lihat keluarga pesakit itu telah ramai mengelilingi katil beliau. Aku hanya mampu melihat dari jauh dan mendoakan yang terbaik untuk nya.

Tak mampu untuk aku mendekati keluarganya kerana kedengaran esak tangis dari tabir katil yang telah ditarik separuh tertutup. Aku takut aku tak mampu untuk menahan perasaan ku dan air mata aku dari terus mengalir sepertimana yang berlaku pada tahun lepas. Aku turut bersama keluarga mereka sama menitiskan airmata atas kehilangan pesakit itu.

Sunday, 1 July 2012

Pergi Tak Kembali

Terkejut aku mendengarkan berita pemergian pelakon dan pelawak yang berasal dari Negeri Kelantan.

Kesibukan di hari minggu menyebabkan aku tidak mendengar berita di TV dan membaca helaian akhbar pada hari jumaat hingga ahad. Terlalu banyak benda yang nak di uruskan... kerja pejabat dan kerja rumah. Maklumlah asyik kerja dan kursus di hujung minggu menjadikan aku sibuk. Rumah pun tak sempat nak berkemas hinggalah ke hari ini baru aku sempat basuh pakaian dan kemas rumah.

Apa-apa pun takziah aku ucapkan kepada semua ahli keluarganya diatas kehilangan itu..

Wednesday, 27 June 2012

Sahabatku

Sahabatku..
hari ini aku merinduimu
rindu pada kenangan semalam
yang pernah kita lalui bersama
semasa kita sama-sama
menyusuri kehidupan
dan merentas ranjau berduri
disepanjang laluan berliku

Sahabatku...
kutinggalkan kenangan semalam
merantau mencari secalit cahaya
yang kuharapkan
dapat memberikan
sedetik bahagia buat ku
pun aku ingin mencari
titik mula
merubah kehidupan kelamku
walau aku tak pasti
mampukah aku melalui
danau sepi  itu
yang bakal aku tempuhi

Sahabatku...
hari ini aku mampu tersenyum
walau tak se gah teman lain
namun
aku mampu menjadi
aku yang berjaya
dalam hidupku
aku yang mampu
membina kebahagian sendiri
walau
aku terpaksa meninggalkan
kenangan semalam
dan kampuang halaman
tercinta..





Monday, 25 June 2012

Berilah aku peluang..

Tuhanku...
Berilah aku luang dan peluang
untuk hidup bahagia
di maya mu ini
sebelum
aku dipanggil kembali menemuimu.

Tuhanku..
berilah aku ruang
untuk meneruskan perjuangan ku ini
agar apa yang aku hajati
dapat aku dakapi
sebelum aku kembali menemuimu..

Tuhanku...
aku bersyukur
di atas segala yang telah kau berikan
pada hambamu yang daif ini
disepanjang hidupku
di dunia ini
sehingga ke hari ini
sebelum aku kembali menemuimu..

Tuahnku
kaulah segalanya
yang maha agong ..

Wednesday, 20 June 2012

Kesedihan ku hanya aku yang tau..

Entah kenapa hari ini hati ku tersentuh dan terluka dengan hari-hari yang aku lalui... Puas aku cuba untuk memujuk perasaan ku untuk kembali menjadi aku semalam yang tabah dan dapat mengharungi sisa-sisa hidupku dengan tabah.

Namun hari ini aku kalah untuk melawan naluri kecilku yang tiba-tiba berbisik dan mengembalikan imbauan semalam yang menyegat perasaan ku. Tiba-tiba saja air mata ku berderai melepasi takungan yang telah lama aku sembunyikan untuk tidak merasai perasaan ini lagi.  Maafkan aku...

Pada hakikatnya aku ingin menjadi seorang insan yang tabah dan menyimpan segala kesedihan ku dalam-dalam agar ianya tidak mengembalikan aku kepada keresahan ... Aku ingin menjadi seperti insan lain yang berjaya dalam hidup di maya ini sebelum kembali menyahut panggilan yang Maha Esa.

Semoga Tuhan sentiasa memberi aku kekuatan untuk meneruskan hidupku dan teman maafkanlah aku teman sekiranya semalam aku pernah menyakitkan dan mengeciwakan hati kalian secara sedar atau secara tidak sedar..

Saturday, 16 June 2012

Rindu ku pada teman seperjuangan

Entah kenapa hari ini aku rasa terlalu merindui masa yang pernah aku lewati dulu, semasa aku masih dibangku sekolah. Kenangan2 semalam datang satu persatu menerjah ruang memoriku. Mungkin dek gambar-gambar lama yang ku tatap sekejap tadi. Gambar-gambar kelas semasa di sekolah rendah Sek. Keb. Pulai Chondong Kelantan dan Sek. Men. Abdul Samad Pulai Chondong.

Walaupun kenangan itu telah lama aku tinggalkan, namun ianya masih memberi kenangan terindah buat ku. Pun aku tidak bisa untuk mengembalikan semalam jua kisah silam untuk menjadi kenyataan seperti masa- masa lalu.

Teman2 ku, diamanakah kalian sekarang? Mungkinkah kita masih berpeluang untuk bersua kembali bagi berkongsi suka duka kehidupan yang telah kita lalui setelah sekian lama kita terpisah? atau kita telah tiada masa untuk duduk bersama bagi membincangakn tentang semalam yang pernah kita lalui bersama dan kenangan sehingga hari ini yang kita pernah kutip setelah kita terpisah dek edaran waktu yang tidak memberikan keizinannya untuk kita bersama..

Aku tau, semalam dan hari ini adalah  berbeza kerana kita semalam adalah kita yang bebas meneroka alam ini bersama tanpa ada halangan yang merintangi keindahan penerokaan kita. Hari ini mungkin terlalu berbeza kerana kita adalah telah bernama ibu, mama, umi atau ayah, papa atau abah.

Teralu pantas rasanya masa itu berlalu meninggalkan kita. Tanpa disedari kita kini sudah mungkin bergelar atuk atau nenek..Ah...cepatnya masa itu!!! Ingin aku kembali menemui kalian meskipun hanya untuk seketika..

Kawan ku Kamariah kini bekerja nun jauh di Timur Tengah. Kawanku Atikah sibuk dengan kerjaya jahitannya.. Tapi kami masih berhubung melalui massage dan talipon. Kawan-kawan di kampung dapat ku temui semasa aku balik ke kampung, itu pun jika ada kelapangan mereka ..

Aku masih berharap agar kita masih mampu berkumpul seperti tahun 1988 di Dewan Jenereh Bongkok... selapas aku tamat pengajian di kolej ku.

Masa itu... teman-teman ku boleh dikatakan semuanya berjaya dalam kerjaya masing-masing. Banyak cerita kita kongsi bersama, ada yang bernasib baik dapat melanjutkan pelajaran mereka ke seberang laut..ada yang jadi cik gu.. jadi misi dan ..

Rindu ku ... menemui kalian semua teman2 ku..



Friday, 15 June 2012

Kursus Spinal Mobilisation

Hari ini, aku dan teman2 menghadiri kursus anjuran HTAR Klang.

Semangat bersama rakan2 walaupun kepenatan kerana esok masih ada lagi kursus.

Lama tidak menghdiri kursus seperti ini, seronok juga berkumpul bersama refresh knowledge dan melakukan sesi amali.

Thursday, 14 June 2012

Kesedihan Melampau

Hari ini hati ku terlalu sedih kerana pesakit aku tiba-tiba tidak stabil. Pada waktu pagi aku telah menemuinya, keadaannya agak kepenatan, lesu dan tidak response macam hari sebelumnya.

Petangnya aku telah promise to his relative untuk transfer patient ke kerusi malas..

Petangnya aku terkejut kerrana kehadiran ku melihat keadaan pesakit ku tidak stabil.. On observation by medical team..

Sedih.. aku jadi tak keruan..tak tergamak to see his relative. Tak sempat kata apa-apa to his relative.. aku terus berlalu..

Terlalu sedih..

Friday, 8 June 2012

Kampungku

Sempena cuti persekolahan, aku telah mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman ku. Kali ini aku mengambil keputusan untuk balik dengan menggunakan pengangkutan awam kerana malas untuk memandu jauh dalam kesibukan dan kesesakan jalan raya dek cuti panjang.

Aku telah bertolak balik pada 31.5.2012 ke Kelantan, negeri kelahiran ku. Terlalu rindu aku kepada keluarga ku, emak ku dan keluarga ku disana.  Hati melonjak untuk cepat sampai ke  Pulai Chondong Kelantan.  namun kesesakan jalan raya menyebabkan aku menempoh perjalanan yang lama iaitu bertolak dari Shah Alam pada jam 9.00 am dan sampai ke perhentian bas machang pada jam 8.00 mlm. 

Terlalu lama perjalanan yang aku tempuhi, perasaan gembira untuk menemui keluarga tercinta menjadikan aku terlalu cekal menempuhinya walaupun terlalu jauh dan lama masa yang harus aku lalui berbanding jika memandu hanya dalam 7 hingga 8 jam sahaja pejalananku.

Disepanjang perjalanan ke rumah ku, aku terkenangkan sekolah lama ku, Sek. Men. keb. Machang - sudah banyak perubahan yang aku lihat. Kalau dulu aku terpaksa menyewa rumah di sekitar sekolah tersebut kerana tiada kemudahan asrama disediakan. Sekarang aku lihat asrama sudah ada untuk kemudahan pelajar menetap.

Sekolah Menengah Abdul Samat masih terseregam indah.. Ah terlalu banyak kenangan di situ...

Tuesday, 29 May 2012

Perantauanku

Pengembaraan aku bermula dari April 2002 ke Hosp. Putrajaya, Dis 2003 ke HKL dan Julai 2007 ke HTAR Klang Selangor. Sehingga kini aku masih di HTAR Klang meneruskan kehidupanku dan perjuangan ku dalam profesyen yang telah aku ceburi selama ini. Terlalu banyak jerih dan pedih yang telah aku telan di sepanjang perjalanan perantauan ku ini. Bercupak air mata telah ku bazirkan menangisi pelbagai keperitan perjalanan ku.

Suka duka itu ku telan walau pahit, pedih dan menyakitkan. Demi sebuah kehidupan aku harus meneruskan perjalanan ini, sementara menunggu masa dan ketika untuk aku berundur dan berehat dari profesyen ini. 

Aku ingin mencari kedamaiuan.....sebelum aku kembali....menemui yang Maha Esa..

Tempat Kerja Pertamaku

HKB atau HPRZ II adalah tempat pertama aku bertapak mencari rezeki dan menggalas pengalaman untuk memantapkan tapak profesayen ku. Selama hampir 13 tahun aku bernaung dibawah payung HKB dan mengutip pelbagai kenangan bersama rakan sekerja serta pesakit yang pernah berada di bawah jagaan ku.

Terima kasih ku ucapkan kepada rakan-rakan seperjuangan yang telah banyak membimbingku dalam kerjaya ini terutama staf senior. Mereka telah memberi panduan-panduan berharga kepada ku semasa merawat pesakit dari segi komunikasi, penilaian pesakit dan rawatan berkesan untuk pesakit. Terima kasih  teman...

Aku juga terasa kehilangan rakan-rakan lain di HKB terutama di bahagian pengurusan, pendidikan pesakit dan unit lain yang bekerja rapat dengan aku semasa di sana.


Monday, 28 May 2012

Kolej Pertama Ku

Pertama kali ku jejakkan kakiku ke KL, kota kosmopolitan yang tidak pernah termimpi oleh ku untuk berada di tengah-tengah kesibukannya. Apatah lagi sendirian, tiada kawan yang pernah aku kenali.

Aku berlari ke sini sebelum sempat menamatkan dunia persekolahan ku, belum sempat  menduduki STPM.  Aku telah ditawarkan untuk memasuki kolej yang ditempatkan di HKL. Ibuku pada mulanya tidak bersetuju untuk membenarkan aku membuat tindakan terburu-buru  meninggalkan alam persekolahanku. Namun aku telah nekad untuk tidak menyusahkan ibuku berhempas pulas bekerja mendapatkan duit bagi menanggung persekolahan ku dan adik.

Kolej yang menawarkan latihan bagi ku akan menyediakan duit saku disepanjang latihan ku selama 3 tahun. Alhamdulillah, setelah berjuang habis-habisan aku telah berjaya dan telah ditugaskan untuk bekerja di HKB Kelantan.

Thursday, 24 May 2012

Memori di alam persekolahan

Di saat ini aku kadang-kadang teringatkan memori semalam. Memori bersama teman persekolahan ku yang telah lama ditinggalkan. Ingatan itu masih segar menayangkan kenangan bersama kalian semua kawan-kawan perjuangan ku.

Namun aku tidak tau dimana kalian sekarang ini. Sudah lama tidak berhubungan dengan kalian. Hanya beberapa orang teman sahaja yang masih berhubungan dengan ku.

Khabar terbaru, seorang teman sekolah ku telah kembali menemui Illahi...sedih hati ku mengenangkannya..

Alam persekolahan ku;
1973-1978  = Sek. Keb. Pulai Chondong, Kelantan
1979-1981 = Sek. Men. Abdul Samad Pulai Chondong Kelantan
1982-1983 = Sek. men. keb. Machang Kelantan
1984-1985 = Sek. Men. Ismail Petra, Kota Bharu Kelantan
1985-1988 = Kolej..

Wednesday, 23 May 2012

Kehidupan

Semalam, aku rasakan kehidupan ini adalah yang terindah jika punyai pekerjaan dan ada duit sendiri untuk belanja apa saja yang diingini. Namun apabila aku menginjak ke alam pekerjaan dan punya duit sendiri, terlalu banyak yang ingin difikirkan. Setiap bulan  pening juga bila difikirkan budget bulanan. Banyak benda yang perlu diselesaikan.. bayar itu..bayar ini...yang tinggal pada akhir bulan....cukup-cukup makan aje la sementara nak menunggu gaji bulan depan.

Kepenatan juga menjadikan hilangnya keceriaan kehidupan yang diimpikan semakin pudar. Pagi-pagi dah kena bangun awal, bersiap untuk ketempat kerja. Buat kerja...bersua dengan pesakit .. membantu pesakit untuk kembali ke kehidupan asal sebaik mungkin. Kadang-kadang masalah pesakit dikendung balik menjadi masalah sendiri yang perlu difikirkan dan diselesaikan.

Masalah-masalah ditempat kerja juga seringkali membelenggu fikiran menjadikan keindahan kehidupan harian ku selalu terganggu. Di setiap ruang pemikiran terkadang dipenuhi oleh persoalan kerja yang belum dapat diselesaikan.....


Tuesday, 22 May 2012

Blog ku

Alhamdulillah, akhirnya aku berjaya juga mencuri kesibukan masaku untuk membuat blog ini. Sudah terlalu lama aku mencari masa terluang ku untuk merialisasikan niat ku, namun kesibukan dan kepenatan kerja menjadikan hasrat itu tertangguh dan tidak menjadi realiti sehinggalah ke hari ini.

Setiap hari aku menghitung waktu untuk memulakannya.Namun keletihan menjadikan aku menangguhkan niatku. Alhamdulillah sehingga kini aku sudah dapat meluangkan sedikit masaku merealisasikan impianku.

Kesibukan ku sebagai petugas di Hospital memanglah memenatkan. Tambahan aku harus banyak bersabar dan berusaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik untuk pesakitku..

Semoga aku mampu berkongsi cerita ..