ARKIB : 03/03/2013

Pasukan Tentera Darat Malaysia dikerahkan ke
Kampung Simunul, Semporna, Sabah yang diserang oleh penceroboh malam
tadi.
Keadaan terkini pada malam ini tegang apabila pertempuran tercetus mengakibatkan dua anggota polis terbunuh dan dua cedera parah.
Sekumpulan lagi anggota dari Unit Cawangan Khas yang sedang melakukan intipan di kampung itu dikepung kumpulan bersenjata tersebut selepas berlaku pertempuran.
Dalam serangan pertama pada pukul 7.30 malam dua anggota polis yang sedang meronda di kawasan berdekatan Balai Polis Kampung Simunul diserang secara hendap menyebabkan seorang maut dan seorang lagi cedera.
Identiti mereka sehingga kini belum dapat disahkan tetapi dipercayai seorang pegawai berpangkat supritenden manakala seorang lagi anggota lain-lain pangkat tetapi tidak diketahui siapa yang terbunuh di antara dua anggota tersebut.
Serangan kedua pula berlaku beberapa jam selepas serangan pertama apabila sekumpulan anggota polis dari Unit Cawangan Khas yang sedang membuat intipan diserang menyebabkan seorang terbunuh, seorang cedera parah dan beberapa lagi dikepung.
Bagaimanapun sehingga jam 12 tengah malam tadi tiada sebarang pengesahan rasmi dibuat pihak berkuasa tetapi difahamkan, seluruh Kampung Simunul dan beberapa kampung di sekitarnya kini dikepung pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama polis.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, dalam satu kenyataan akhbar menerusi laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan berlaku serangan di Kampung Simunul.
Menurut beliau, bilangan penyerang yang terbabit dipercayai tidak melebihi 10 orang.
Kampung Simunul terletak kira-kira tiga kilometer ke bandar Semporna. Jarak Semporna dengan Kampung Tanduo, Lahad Datu adalah 150 kilometer atau kira-kira dua jam perjalanan.
Mingguan Malaysia difahamkan kumpulan penyerang adalah tentera Kesultanan Sulu yang telah mula memasuki dan menetap di beberapa kawasan di Sabah secara berperingkat sejak empat bulan lalu.
Mereka kemudian berpecah dan menetap di kawasan perkampungan yang majoriti didiami masyarakat Suluk sebagaimana berlaku di Kampung Tanduo yang kehadiran mereka hanya berjaya dikesan pada 12 Februari lalu.
Dalam pada itu, difahamkan siren kecemasan dibunyikan di Kampung Simunul dan semua penduduk termasuk di kampung berdekatan iaitu Kampung Air dan Kampung Sri Jaya diarah tidak keluar dari rumah masing-masing.
Selain itu, pihak berkuasa juga mendapat maklumat Amir Baha iaitu anak kepada Sultan Sulu, Sultan Esmail Kiram II yang kini berada di Semporna juga dipercayai sedang merancang untuk melakukan serangan.
Berdasarkan siasatan awal, Amir dilihat bersama dua lagi lelaki warga Sulu membawa raifal M16 dan beberapa pucuk pistol tetapi tidak dapat dipastikan sama ada serangan ke atas dua anggota polis ada kaitan dengannya.
Sehingga tengah malam ini, pihak berkuasa sedang giat memburu Amir bersama dua pengikutnya dan gambar ketiga-tiga mereka telah diedar kepada semua anggota polis yang terbabit dalam operasi berkenaan.
Pada masa yang sama, arahan berjaga-jaga peringkat kedua sudah dikeluarkan ke atas Balai Polis Lahad Datu kerana bahagian risikan mendapat maklumat bahawa balai itu antara sasaran serangan seterusnya kumpulan tersebut.
Ekoran kejadian serangan terbaharu dan juga hasil maklumat risikan mengenai kemungkinan berlaku serangan di beberapa tempat lain, satu pasukan tambahan Polis Gerakan Am (PGA) dihantar ke Semporna manakala satu lagi ke Tawau.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib ketika dihubungi mengesahkan serangan terbaharu tetapi enggan mengulas lanjut termasuk tidak mahu mendedahkan identiti anggota polis yang cedera.
Memang ada serangan berdekatan Balai Polis Kampung Simunul," katanya ringkas kepada Mingguan Malaysia, di sini malam ini.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130303/dn_06/Lagi-polis-mati-ditembak#ixzz2Mo9uTXwg
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment