Perkongsian dari iluvislam..izinkan aku mengabadikan diruangan ini..
"Kahwin kerana Allah, bukan kerana nafsu... macamana tu, kak? Realitinya ada
keadaan macam ni?" Menarik juga persoalan yang masuk ke dalam mesej pesanan
ringkas saya dan saya ingin berkongsi pendapat tentangnya dengan pembaca
iluvislam. Isu ini cukup menarik dibincangkan terutama sempena bulan Februari,
di mana seluruh dunia menyebut tentang Hari Kasih Sayang atau Valentine yang
jatuhnya pada 14 Februari. Walau apapun, Februari atau tidak, menyambut Hari
Kasih Sayang atau tidak... isu cinta, kasih sayang dan perkahwinan
adalah isu sejagat yang tetap segar sepanjang zaman.
Persoalan cinta, kasih sayang dan perkahwinan tanpa 'dicemari' nafsu adalah
konsep ideal, indah serta menjanjikan kebahagiaan sejati yang ingin sekali
dinikmati serta diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Kekeliruan melanda
fikiran ketika kita mahu mempraktik atau merealisasikannya dalam kehidupan
seharian. Akal sering tersilap menilai dan mata lahir pula sering tertipu.
Garis pemisah antara niat 'kerana Allah' dan 'kerana nafsu' dalam proses membuat
keputusan untuk bernikah, sama ada 'cinta sebelum nikah' atau 'cinta selepas
nikah' begitu kabur kerana ia adalah 'soal hati' yang sukar dijangkau akal biasa
dan mata lahir.
Rumahtangga, rumah dan bilik
air
Istilah 'rumahtangga' menggambarkan rumah berserta keluarga yang menghuninya.
Rumah sahaja adalah bangunan fizikal yang tidak banyak maknanya tanpa manusia
yang menghuninya. Keluarga tanpa rumah tempat berlindung, walaupun rumah itu
kecil atau dhaif, pasti tidak lengkap dan sempurna. Rumah adalah keperluan untuk
perlindungan dari hujan dan panas, tempat istirehat fizikal, fikiran dan juga
perasaan.
Dalam rumah terdapat beberapa... bilik tidur, dapur, serambi, ruang tetamu,
bilik bacaan, bilik air dan beberapa bahagian tambahan yang lain. Sedar atau
tidak, bilik air adalah keperluan yang sangat kritikal dalam sebuah rumah. Bilik
air mungkin tidak 'popular' dan bukan pilihan utama untuk dijadikan tempat
berlama-lamaan, namun kehidupan manusia menjadi resah dan tidak selesa tanpa
'mengunjunginya'. Kelegaan yang dirasa selepas qadha hajat di bilik air memberi
kesan kepada semua aktiviti yang digemari dalam rumah tersebut.
Antara membina rumah dan membina bina
bilik air
Saya suka mengambil sebuah rumah fizikal sebagai metafora untuk menggambarkan
rumahtangga yang didirikan atas niat 'kerana Allah' atau 'kerana nafsu'. Ketika
membina rumah, hasrat utama adalah untuk ada tempat berlindung dari hujan dan
panas, supaya keluarga dapat hidup dengan selesa. Keseluruhan bahagian rumah
tersebut umpama rumahtangga yang dibina. Tanpa bilik air pasti tidak lengkap.
Namun tentu suatu yang tidak kena jika rumah dibina dengan hasrat utamanya untuk
membuat bilik air semata-mata dan bahagian rumah yang lain sebagai sampingan.
Metafora inilah yang cuba saya gunakan untuk membezakan niat antara kahwin
'kerana Allah' dengan 'kerana nafsu'.
Jika bilik air sebagai niat utama, ini ibarat kahwin 'kerana nafsu'. Jika
demikian maka pembinaan 'rumah' itu adalah semata-mata untuk buang air.
Sebaliknya, jika niat utama adalah membina sebuah rumah yang lengkap dengan
semua bahagian termasuk bilik air, ini ibarat niat kahwin 'kerana Allah'. Dalam
keadaan niat seperti ini, buang air adalah pelengkap kepada keseluruhan fungsi
utama rumah sebagai tempat perlindungan. Niat ini lebih menyeluruh dan mengambil
kira banyak faktor.
Tambahan lagi, manusia tidak membina rumah bermula dengan membina bilik air,
tetapi dimulakan dengan asas atau foundation yang kukuh, lantai, dinding dan
bahagian-bahagian utama. Begitu juga dengan pembinaan rumahtangga – ia mesti
bermula dengan asas yang cukup kukuh supaya tidak mudah runtuh. Misi dan visi
pembinaan rumahtangga seharusnya diambil kira sejak dalam proses memilih
pasangan.
Misi dan Visi
Perkahwinan
Ikatan perkahwinan merupakan ikatan antara dua manusia berbeza jantina, maka
semestinya ia mesti berlandaskan misi dan visi penciptaan manusia itu sendiri
iaitu sebagai hamba Allah dan khalifah di mukabumi. Selaras dengan dua misi
penciptaan manusia, maka misi dan visi perkahwinan adalah sebagai pembentukan
keluarga sebagai 'team work' melaksanakan misi hamba dan khalifah dalam
perjalanan menuju akhirat. Inilah asas yang paling kukuh dan niat yang paling
murni 'kerana Allah'. Ini bermakna perkahwinan adalah suatu tanggungjawab.
Untuk memikul pertanggungjawan sebagai hamba dan khalifah, pastinya pelbagai
halangan, rintangan dan beban yang terpaksa dipikul bersama. Oleh itu, sangat
penting wujud rasa cinta dan kasih sayang sebagai pengikat antara suami, isteri,
anak-anak dan seluruh keluarga. Cinta dan kasih sayang adalah anugerah dari
Allah yang Ar Rahman dan Ar Rahim kepada hamba-hamba-Nya. Ikatan rasa cinta dan
kasih sayang menyebabkan beban yang terpikul di bahu terasa ringan, kemarahan
yang mungkin timbul antara pasangan dapat diredakan dengan kemaafan.
Ekpresi kasih sayang antara manusia terluah dalam banyak bentuk termasuklah
hubungan seksual yang dihalalkan melalui akad ijab dan kabul. Persepsi 'nafsu'
dalam kefahaman kebanyakan manusia dikaitkan dengan hubungan seksual serta
isu-isu berkaitan dengannya. Dengan lafaz akad nikah, ekpresi kasih sayang
dalam bentuk hubungan seksual dihalalkan, malah diiktiraf oleh Allah sebagai
ibadah dan pahala kebajikan. Tanpa ijab kabul, hubungan seksual meyandang label
jijik, kotor dan hina.
Kerana Allah – merujuk kepada
peraturan-Nya
Niat 'kerana Allah' dalam percintaan dan perkahwinan direalisasikan dengan
merujuk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t di setiap peringkat
prosesnya. Keredhaan Allah sebagai asas ketika memilih pasangan untuk membentuk
'team work' rumahtangga, patuhi segala suruhan dan tinggalkan larangan termasuk
dalam aspek pemenuhi tuntutan fitrah keperluan seksual.
Khalifah-khalifah dan hamba-hamba Allah yang lahir dari perkongsian hidup
dalam perkahwinan tersebut adalah tanggungjawab pasangan tadi supaya generasi
baru ini membesar menjadi manusia yang berfungsi menjadi pemakmur bumi, bukan
perosak mukabumi.
Pencemaran dalam
niat
Niat 'kerana nafsu' digambarkan oleh keadaan dimana perkahwinan adalah
semata-mata untuk memenuhi tuntutan fitrah seksual. Sedar tak sedar, niat
'menghalalkan' hubungan seksual dalam ekspresi cinta dan kasih sayang secara
lahiriah kelihatan begitu 'murni'. Ya, sememangnya ini tidak salah... namun jika
semata-mata kerana itu, ia ibarat membina rumah bermula dengan membina bilik air
sebagai asas utama. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya ada juga peraturan Allah
yang diambil kira.
Rumahtangga begini tidak akan kukuh, cepat runtuh, mudah goyah dan akab
berkubur begitu sahaja. Persoalan tanggungjawab dengan mudah akan diketepikan.
Kebahagiaannya tidak berpanjangan. Rumahtangga akan selalu bermandikan
pergaduhan dan konflik. Anak-anak yang lahir dalam suasana ini ini tidak
berkembang menjadi khalifah dan hamba Allah yang berfungsi untuk memakmurkan
bumi, malah mungkin menjadi generasi perosak muka bumi. Kesudahannya bukan
syurga di akhirat malah kesengsaraannya bermula di dunia lagi.
Na'uzubillah!.
Kerana Nafsu semata – membujur lalu
melintang patah
Ekpresi cinta dan kasih sayang atas dorongan nafsu semata-mata tergambar
dalam kehidupan seharian ketika peraturan Allah tidak diendahkan, batas hukum
syarak diketepikan, sehingga andai berlaku pertembungan antara hukum Allah
dengan keinginan nafsu, hukum Allah diketepikan dan tuntutan nafsu dipenuhi.
Membujur lalu, melintang patah... inilah gambaran niat semata-mata 'kerana
nafsu'. Anugerah cinta dan kasih sayang dari Ar Rahman dan Ar Rahim dikhianati
dengan ekspresi dalam bentuk zina.
Sifat Maha Pengampun Allah dijadikan
pertaruhan dalam permainan nafsu
"Allah fahamm... kan dia yang ciptakan kita. Lagipun Allah kan Maha
Pengampun..." demikian kata-kata yang lahir dari dorongan nafsu yang
bertopengkan nama Allah.
Peluang taubat di eksploitasi semahu-mahunya sehingga terlupa bahawa Allah
juga ada sifat Maha Menghukum. Dalam pengaruh nafsu, syurga dan neraka
seolah-olah tidak wujud.
Semoga Allah melindungi kita dari pengaruh cinta nafsu semata-mata.
Destinasi akhir ekspresi
cinta
Stesen terakhir cinta kerana Allah dalam ikatan rumahtangga
adalah syurga yang kekal abadi di akhirat. Sebaliknya, stesen terakhir cinta
kerana nafsu adalah neraka yang penuh siksaan. Allah serahkan pilihan di tangan
kita yang diberi selendang sebagai khalifah muka bumi.
Allah sediakan syurga untuk manusia tinggal dan Dia ciptakan Neraka sebagai
peringatan bahawa ada risiko menanti jika manusia memilih untuk tidak tunduk
kepada-Nya. Pilihan yang Allah buka juga berlaku dalam soal ekpresi cinta dan
kasih sayang... Semoga Allah memimpin dan memberi taufik dan hidayah untuk kita
menikmati anugerah cinta dari Dia yang Ar Rahman dan Ar Rahim.
- Artikel iluvislam.com
No comments:
Post a Comment