KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Berikut adalah kronologi selepas
hari ketiga Op Daulat bagi menangani pencerobohan pengganas Filipina di Lahad
Datu, Sabah:
5 Mac (7 pagi) - Pasukan keselamatan melancarkan serangan menggunakan jet
pejuang F18 dan Hawk ke atas penceroboh bersenjata Filipina di Kampung Tanduo,
Lahad Datu, Sabah diikuti tindakan susulan dan penggeledahan oleh pasukan
tentera dan polis di sekitar kampung itu.
5 Mac (8 pagi) - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan
mesti mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjaga maruah dan kedaulatan
negara sebagaimana yang dituntut rakyat memandangkan usaha kerajaan mengelakkan
pertumpahan darah di Lahad Datu tidak berjaya.
5 Mac (4 petang) - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memberitahu sidang
akhbar operasi susulan dan penggeledahan diteruskan kerana percaya masih ada
musuh di kawasan itu.
6 Mac (11 pagi) - Ketua Polis Negara sahkan kumpulan penceroboh mula menyamar
dengan berpakaian seperti orang awam untuk melepaskan diri daripada kepungan
pasukan keselamatan.
6 Mac (4 petang) - Hari kedua Op Daulat: Menteri
Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media bersama Menteri
Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan seorang anggota
kumpulan penceroboh ditembak mati dan sembilan mayat ditemui di dalam lubang di
kawasan ladang dekat Kampung Tanduo.
6 Mac - Beberapa keping gambar Op Daulat yang dirakam pasukan keselamatan
diedar kepada media, antaranya mayat pengganas di dalam sebuah lubang.
6 Mac - Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Al-Haj Murad Ebrahim
mengakui kumpulan pemberontak terbesar di Filipina itu tidak terlibat dalam
konfrontasi antara penceroboh bersenjata Sulu dan pasukan keselamatan Malaysia
di timur Sabah.
6 Mac (6 petang) - Berlaku tembak menembak antara anggota keselamatan dan
kumpulan pengganas di tiga lokasi di kampung Tanjung Batu, Lahad Datu pada kira
4.15 petang semasa operasi susulan dan penggeledahan.
7 Mac (7 pagi) - Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata pasukan
keselamatan mengadakan kepungan di laut dan di darat untuk mengekang bekalan
makanan dan persenjataan sampai kepada pihak musuh.
7 Mac - Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Sabah dan bertemu pemimpin masyarakat kaum
Suluk di Tawau; turut menyatakan kerajaaan tidak sangsi terhadap kesetiaan etnik
itu berikutan insiden pencerobohan tersebut.
7 Mac (15.50 petang) Perdana Menteri mengumumkan pada sidang media di Felda
Sahabat pembentukan Kawasan Keselamatan Khas di pantai timur negeri ini, yang
merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu.
- Najib berkata penceroboh Filipina di Sabah perlu letak senjata tanpa syarat
sebelum tawaran gencatan senjata dipertimbangkan.
- Najib umum tambahan lima batalion anggota pasukan keselamatan untuk
ditempatkan di kawasan keselamatan khas di timur Sabah.
- Najib berkata Op Daulat akan diteruskan sehingga penceroboh di Sabah
meletakkan senjata tanpa syarat.
- Perdana Menteri beri amaran kepada mana-mana pihak jangan pandang ringan
iltizam rakyat dan kerajaan mempertahankan bumi Sabah sebagai sebahagian dari
Malaysia selama-lamanya.
7 Mac (5.30 petang) - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata seorang
musuh terbunuh dalam Op Daulat di Tanjung Batu semalam manakala 31 lagi,
termasuk seorang berpangkat jeneral terbunuh hari ini.
7 Mac - Sehingga pukul 7 petang, seramai 52 penceroboh maut sejak insiden
pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna.
No comments:
Post a Comment