07/10/2013 6:34pm
SHAH ALAM - Projek pembinaan Hospital Shah Alam (HSA) di Seksyen 7 di sini sudah siap sepenuhnya dan dijangka beroperasi pada Jun tahun depan, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof.
Beliau berkata, pada masa ini kerja-kerja pemasangan peralatan perubatan sedang giat dilakukan termasuk proses menguji alatan tersebut oleh Kementerian Kesihatan dan proses pentauliahan bangunan oleh Jabatan Kerja Raya.
"Terlalu banyak mesin dan peralatan sedang dibawa masuk ke hospital itu dan kesemuanya perlu melalui proses ujian dan pentauliahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Juruukur Kuantiti Antarabangsa 2013 di sini hari ini.
Konvensyen dua hari itu dianjurkan oleh Lembaga Juruukur Bahan Malaysia.
Fadillah berkata demikian ketika ditanya mengenai pembukaan rasmi hospital tersebut yang dijadual bulan ini seperti yang dijanjikan bekas Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor, Disember lepas.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan proses pemeriksaan bangunan hospital dan proses ujian peralatan perubatan akan mengambil masa lebih lama kerana ia perlu dilakukan dengan lebih teliti.
Projek pembinaan HSA dengan kos kontrak RM482.6 juta dimulakan pada 15 November 2007 dan sepatutnya siap pada 25 Jun 2011. Namun, projek itu tergendala selepas kontraktor terbabit gagal melaksanakannya. - Bernama
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1007&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_16.htm#ixzz2h2S43AYQ
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment